1. Kajian Kebolehnampakan Hilal
2. Bagaimana Penetapan Awal Bulan Islam Ditentukan?
3. Cara Penetapan Awal Ramadhan, Awal Syawal dan Awal Zulhijjah
4. Apakah Kriteria Imkanur-Rukyah?
5. Awal Bulan Qamariah
6. Persoalan-persoalan yang sering ditanyakan berkaitan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah
Kajian Kebolehnampakan Hilal
Salah satu daripada bidang penyelidikan Makmal Fizik Angkasa ialah Kajian Kebolehnampakan Hilal. Kajian penyelidikan ini dibuat di Baitul-Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan, dilakukan pada setiap akhir bulan Islam iaitu pada 29hb dengan menggunakan teleskop Meade LX200 12”. Kajian ini telah dijalankan sejak tahun miladiah 2000 bermula bulan Muharram tahun hijriah 1421 hingga sekarang.
Kajian ini penting untuk dijalankan kerana hilal adalah asas dalam penetapan awal bulan dalam Kalendar Islam. Tujuan kajian ini dijalankan bagi memastikan hisab yang diguna-pakai di negara kita bertepatan dengan rukyah (kedudukan sebenar anak bulan). Selain tujuan tersebut di atas, kajian ini dijalankan adalah untuk mengumpul data-data kenampakan hilal bagi memperkemaskan lagi kriteria Imkanur-Rukyah.
Selain data bulan, kedudukan matahari terbenam, suhu, tekanan dan pembiasan dan kecerahan langit turut dicatat.
Bagaimana Penetapan Awal Bulan Islam Ditentukan?
Di Malaysia, penentuan awal bulan Islam (Qamariah) bagi tahun Hijriah berdasarkan kepada kaedah Rukyah dan Hisab. Kaedah ini digunakan terutamanya bagi menentukan 3 bulan utama Islam iaitu awal Ramadhan, awal Syawal dan awal Zulhijjah. Bagi setiap bulan yang lain dari 3 bulan utama diatas, kaedah yang sama juga digunakan terutamanya bagi tujuan pembinaan Kalendar Islam.
Cara Penetapan Awal Ramadhan, Awal Syawal dan Awal Zulhijjah
Rukyah :
Rukyah ialah melihat anak bulan (hilal) pada 29hb di tempat-tempat rasmi seluruh Malaysia dengan mata kasar atau dengan bantuan peralatan-peralatan optik yang canggih seperti teleskop, teodolit, Total Station dan binocular dan dikendalikan oleh mereka-mereka yang pakar dan terlatih.
Pada petang 29hb Sya’aban, 29hb Ramadhan dan 29hb Zulkaedah pada setiap tahun, Jawatankuasa melihat anak bulan peringkat negeri akan melaksanakan rukyah di 28 buah tempat cerapan rasmi di seluruh Negara. Jawatankuasa ini terdiri daripada :
1. Mufti Negeri (sebagai pengerusi dan ketua rombongan)
2. Kadi Besar
3. Pengarah Jabatan Ukur Negeri (beragama Islam) atau wakilnya (beragama Islam)
4. Setiausaha Majlis Agama Islam
5. Seorang Ahli Falak
Sekiranya hilal iaitu anak bulan kelihatan, maka keesokan harinya ditentukan sebagai awal Ramadhan, awal Syawal dan awal Zulhijjah, tetapi sekiranya anak bulan tidak kelihatan, hisab kedudukan bulan yang berpandukan kepada kriteria Imkanur-Rukyah iaitu keboleh-nampakan hilal akan diguna-pakai bagi penentuan awal Ramadhan, awal Syawal dan awal Zulhijjah. Mereka yang terlibat dalam pengiraan kaedah ini juga adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam ilmu astronomi.
Tarikh melihat anak bulan dan penetapan tarikh puasa dan hari raya diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja melalui media masa menjelang tibanya tarikh berkenaan.
Hisab :
Hisab ialah menentukan kedudukan anak bulan (hilal) pada petang 29hb Qamariah berpandukan stesyen rujukan rasmi di Kg Ateamu, Sandakan, Sabah iaitu tempat paling timur di Malaysia dan stesyen rujukan rasmi di Tanjung Chincin, Langkawi, Kedah iaitu tempat paling barat di Malaysia.
Apakah Kriteria Imkanur-Rukyah?
Bermula tahun 1993, Negara-negara anggota MABIMS (Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura) bersepakat menerima-pakai kriteria Imkanur-Rukyah bagi menentukan awal Ramadhan dan awal Syawal, di mana sebelum matahari terbenam ijtimak (apabila bulan, bumi dan matahari berada di garisan atau longitud yang sama) telah berlaku pada 29hb Qamariah dan melalui perkiraan anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya tidak terlindung oleh keadaan cuaca apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:
·1. Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada 2o dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3o atau
2. Ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku)
Pada tahun 1995 barulah penentuan awal Zulhijjah dan bulan-bulan lain dibuat berpandukan kriteria Imkanur-Rukyah.
Dalam erti kata lain, bagi menentukan awal Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan bulan-bulan qamariah yang lain, rukyah dan hisab berpandukan kriteria yang telah disebutkan tadi merupakan kaedah yang diguna-pakai di negara kita.
Awal Bulan Qamariah
Awal bulan Qamariah (Muharram hingga Zulhijjah) bermula pada waktu maghrib (matahari terbenam) hari “terlihatnya” hilal. Kecanggihan teknologi dan perkiraan sekarang memungkinkan kita untuk membuat perkiraan tentang kedudukan bulan dengan tepat. Bagaimanapun, samada hilal boleh dilihat di sesuatu lokasi atau tidak agak sukar untuk dijangkakan.
Kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan cuaca, ketinggian bulan ketika maghrib, jarak lengkung bulan-matahari ketika maghrib, tempoh masa antara matahari terbenam dan bulan terbenam, pencemaran udara, peralatan optic, pencerap dan sebagainya. Oleh itu, kaedah penetapan kriteria Imkanur-Rukyah (Kebolehnampakan hilal) yang mengambil kira faktor-faktor tersebut digunakan bagi menentukan permulaan bulan Islam. Kriteria ini boleh disesuaikan berdasarkan laporan-laporan rukyah yang dibuat dari masa ke semasa.
Persoalan-persoalan yang sering ditanyakan berkaitan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah
Soalan : Kenapa pada hari pertama kita berpuasa atau berhari raya, anak bulan telah kelihatan besar dan tinggi di langit?
Jawapan: Seperti yang telah dijelaskan, penentuan awal puasa dan hari raya adalah berdasarkan kepada rukyah dan hisab yang menerima-pakai kriteria Imkanur-Rukyah iaitu tidak kurang dari 2o ketinggian di atas ufuk dan tidak kurang 3o jarak lengkung bulan-matahari atau umurnya tidak kurang dari 8 jam. Sekiranya pada waktu hilal terbenam 29hb bulan Islam, umur anak bulan 7 jam selepas berlakunya ijtimak dan ketinggian 1o dari ufuk, maka pada awal puasa atau hari raya, umur anak bulan menjadi 31 jam kerana ditambah dengan 24 jam dan ketinggian anak bulan menjadi 13o kerana ditambah dengan 12o (untuk 1 hari ketinggian bulan 12o).
Soalan : Waktu kita di Malaysia adalah lebih cepat 5 jam dari Arab Saudi? Mengapa puasa dan hari raya, mereka selalunya mendahului kita?
Jawapan: Kita berbalik kepada Kriteria Imkanur-Rukyah. Katalah ijtimak berlaku pada pukul 2 petang waktu Malaysia. Apabila matahari terbenam (katalah jam 7.00 malam), umur anak bulan pada ketika itu baru mencecah 5 jam atau ketinggian dari ufuk 1o dan jarak lengkung 3o. Keesokan harinya kita tidak berpuasa atau berhari raya kerana tidak menepati kriteria yang telah ditetapkan. Tetapi, apabila menjelang matahari terbenam di Arab Saudi, umur hilal tentu telah melebihi 8 jam dan pada keesokan harinya mereka mula berpuasa atau berhari raya.
Oleh : Pn Saedah Haron
Penasihat : Prof. Dr. Mohd Zambri Zainuddin
Rujukan : 1) Dr. Azhari Mohamed (JUPEM)
: 2) Unit Falak JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
mohon ambik sedikit input yer...
Post a Comment