Friday, October 12, 2007

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI DARIPADA TUAN GURU HJ. ABDUL HADI AWANG


Saya bagi pihak Parti Islam Se Malaysia (PAS) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri kepada semua umat Islam khasnya rakyat Malaysia samada yang berada di tanahair ataupun di luar negara.

Sesungguhnya hari ini adalah hari kurniaan Allah swt kepada mereka yang telah berjaya menjalani ibadat puasa sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh ketaatan kepada Nya, mengerjakan segala yang disuruh dan menjauhkan segala yang dilarang.

Mudah-mudahan Allah swt menerima segala amalan kita sepanjang bulan yang penuh barakah itu dan mengurniakan kita kejayaan bagi melalui bulan-bulan yang berikutnya.

Inilah masanya untuk kita memperbaharui azam dan mempertingkatkan komitmen kita untuk berjuang dengan sungguh-sungguh bagi meninggikan agama Nya setelah kita berjaya terbit dan lulus dari bulan tarbiyah sepanjang Ramadhan yang lalu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Supaya agama ini zahir, menang mengatasi segala ajaran yang lain walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin" (As Saff : 9)

Kejayaan akan menjadi milik kita dengan pertolongan Allah swt sekiranya kita berjaya menzahirkan ketaqwaan dan keimanan yang kukuh bagi menghadapi mereka yang memusuhi kita.

Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan mestilah menjadi pegangan dan panduan kita untuk dibawa ketengah masyarakat bagi menyelamatkan mereka dari kesesatan dan kemusnahan dengan memimpin mereka ke arah kebenaran dan kesejahteraan yang sebenar. Allah swt berfirman yang bermaksud:

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al Baqarah : 185)

Marilah pada hari yang mulia ini kita seluruh umat Islam, berbekalkan semangat Ramadhan, bersatu di bawah panji-panji Islam dengan mengenepikan apa sahaja perselisihan dan perbezaan diantara kita, bersama melangkah dinaungi keredhaan Nya.

Sesungguhnya urusan agama dan dunia insyallah akan dapat kita laksanakan dengan sempurna kiranya kita berjaya menyatukan persaudaraan kita di atas kalimah tauhid yang satu, berpadu menyelamatkan agama, bangsa dan Negara.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahhil Hamd

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bin Awang
Presiden PAS

1 Syawal 1428

No comments: