Sunday, October 28, 2007

Talqin Mayyit


Petang tadi semasa pulang dari Damanhur, ana teringat kepada perbincangan ringkas ana dengan Faizal Hasnol dan Mumtaz Juhdi berkaitan talqin. Di sini, ana bawakan sedikit perjelasan berkaitan bertalqin kepada si mayyit. Apakah hukum beramal dengannya dalam mazhab kita? Untuk makluman sahabat-sahabat sekalian, ini adalah salah satu lagi amalan yang sering diserang oleh sesetengah pihak yang berfikiran jumud. Hebat sungguh serangannya sehingga ada antara kita yang tergugah dalam melaksanakannya, seolah-olah ianya memang bid`ah yang ditegah. Sedangkan dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah, ianya dihukumkan mustahab (disukai/sunnat) bagi mayyit yang baligh. Silalah sahabat-sahabat sekalian rujuk kepada kitab-kitab mu'tabar dalam mazhab kita antaranya Tohfah dan hawasyinya, jilid 3, mulai mukasurat 227.

Di sini ana nukilkan sedikit dari "Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya - Di Kepala Batas", antara lain menyebut:-

Bahawasanya talqin mayyit itu hukumnya sunnat bukannya bid`ah dhalalah. Dalilnya:-

  • (1) Firman Allah ta`ala : ...... yang bererti "Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin."
  • (2) Hadis yang diriwayat oleh Thobarani fil Kabir marfu`an daripada Abi Umamah sabda Nabi s.a.w.:.....yang bererti "Apabila mati seorang daripada saudara kamu maka kamu ratakan tanah di atas kuburnya maka hendaklah berkata ia "Hai Fulan anak Fulanah", maka bahawasanya ia mendengar akan dia dan tiada ia jawab ........ hingga berkata ia - maka hendaklah ia berkata - Ingat olehmu barang yang engkau keluar atasnya daripada dunia iaitu syahadatu an la ilaha illaAllah wa anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu ...... hingga akhir riwayat."
  • (3) Atsar yang diriwayatkan oleh Sa`id bin Manshur daripada Rasyid bin Sa`id dan Dhamrah bin Habib dan Hakim bin 'Umair, berkata mereka itu:- ........... yang bererti "Apabila diratakan atas mayyit akan kuburnya dan berpaling manusia daripadanya adlah mensunnat mereka itu bahawa dikata bagi mayyit di sisi kuburnya - Wahai Fulan anak Fulanah - kata olehmu la ilaha illaAllah tiga kali - kata olehmu tuhanku Allah - agamaku Islam - nabiku Muhammad s.a.w. ....... hingga akhirnya.
  • (4) Aqwal al-'Ulama`:-......... yang bererti - "dan disunnat talqin orang yang baligh lagi berakal atau orang yang gila yang terdahulu oleh taklif." Telah berkata akan dia Imam Nawawi di dalam Raudhah dan Syaikhul Islam di dalam Asnal Mathalib dan Fathul Wahhab dan al-'Allamah Ibnu Hajar di dalam Tohfah dan Fathul Jawaad dan Syaikh Ramli di dalam Nihayah dan al-'Allamah al-Khathib di dalam Mughni dan beberapa ulama yang lain daripada mereka itu seperti Qadhi Husain dan Ibnu ash-Sholah.
  • Dengan segala nas yang tersebut itu nyatalah bahawa talqin mayyit kemudian daripada itu sunnat yang ada asalnya daripada Quran dan hadis dan atsar daripada sahabat dan perkataan ulama r.'anhum. Adapun firman Allah ta`ala ......."Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin", maka ayat ini umum kepada sekalian orang yang beriman sama ada hidup atau mati. Dan yang terlebih sangat berhajat seseorang kepada pengingatan itu ialah di masa ia di dalam kubur.
  • Ada pun Abi Umamah yang diriwayatkan oleh Thobarani sungguhpun dhaif akan tetapi disokong oleh beberapa syahid daripada hadis yang lain seperti hadis ...........yang bererti "Pintalah olehmu baginya akan ketetapan, maka bahawasanya ia sekarang sedang ditanya akan dia". Demikianlah tersebut di dalam Majmu' - dan hadis Ibnu 'Abbas yang diriwayat oleh Daruquthni di dalam sunannya - dan wasiat Amr bin al-'Aash yang diriwayat oleh Muslim - dan amal ahlu Syam. Lagi pula adalah talqin ini setengah daripada fadhail yang memadai pada mengisbat akan dia dengan hadis yang dhaif jua.

Sunniyyun Syafi`iyyun begitulah kedudukan talqin dalam mazhab kita, oleh itu mari teruskanlah bertalqin dan ditalqin nanti. Yang penting di sini, jangan melampau dalam sesuatu perkara. Begitulah serba sedikit penerangan daripada ana insan yang doif.

Walahu'alam...

1 comment:

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

as-Salaamu 'alaikum...

Berikut sedikit ulasan,

Daripada Abi Umamah al-Bahili r.a, dia berkata:


إذا متّ فاصنعوا بي كما أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نصنع بموتانا، أمرنا رسول الله فقال: "إذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل يا فلان بن فلانة فإنه يسمعه ولا يجيب، ثم يقول يا فلان ابن فلانة فإنه يستوي قاعدا، ثم يقول يا فلان بن فلانة فإنه يقول: أرشدنا يرحمك الله، ولكن لا تشعرون. فليقل اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا عبده ورسوله، وأنك رضيت بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد نبيا وبالقرآن إماما، فإن منكرا ونكيرا يأخذ واحد منهم بيد صاحبه ويقول: انطلق بنا ما نقعد عند من قد لقن حجته، فيكون الله حجيجه دونهما"، فقال رجل: يا رسول الله فإن لم يعرف أمه؟ قال: "فينسبه إلى حواء، يا فلان بن حواء

"Apabila aku mati, buatlah kepadaku seperti yang telah diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita (umat Islam) supaya kita lakukan kepada orang-orang kita yang mati. Rasulullah S.A.W mengarahkan kita, sabdanya: (Apabila salah seorang dari saudara-saudaramu mati, lalu kamu ratakan tanah di atas kuburnya (kebumikan dia), maka hendaklah salah seorang dari kamu berdiri di kepala kuburnya, kemudian serulah: Wahai fulan Bin fulanah (sebut nama ibunya), maka si mati akan mendengar seruan itu tetapi ia tidak menjawab. Kemudian hendaklah diserukan sekali lagi dengan berkata: Wahai fulan Bin Fulanah, maka pada saat itu si mati akan bangun (dari perbaringan untuk) duduk. Kemudian hendaklah diserukan lagi (buat kali ke 3), maka si mati akan menyahut seraya berkata: "berilah daku peringatan semoga Allah merahmatimu". Si mati akan berkata demikian tetapi kamu tidak menyedari. Kemudian hendaklah orang yang menyeru itu berkata: "Ingatlah saudaraku akan i'tikad tauhid yang menjadi peganganmu di dunia dahulu iaitu dua kalimah syahadah: bahwasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahwasanya Nabi Muhammad S.A.W ialah hamba dan pesuruh-Nya, dan bahawa engkau telah reda Allah sebagai tuhanmu, Islam sebagai agamamu, Muhammad sebagai nabimu dan al-Quran sebagai imammu (petunjukmu)". Lantaran itu Munkar dan Nakir saling memegang tangan satu sama lain lantas berkata: "Marilah kita pergi dari orang yang telah diajarkan hujah-hujahnya", maka Allah yang menjadi hujahnya terhadap dua malaikat itu. Seorang lelaki bertanya: "Ya Rasulullah! Jika tidak diketahui nama ibunya (untuk dibinkan)? Jawab baginda S.A.W: "Nasabkanlah dia kepada Hawa (isteri nabi Adam a.s), wahai Fulan Bin Hawa!" (H.R al-Tabrani di dalam al-Mu'jam al-Kabir)

Al-Haithami memberikan komentar dengan katanya: Di dalam isnadnya terdapat sekumpulan orang yang aku tidak dikenali) (Lihat: al-Haithami. Majma' al-Zawa'id wa Manba' al-Fawa'id. (3/42), Bab: Talqin mayat selepas pengkebumian. Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath, tanpa tarikh.)

Hadith Abi Umamah ini telah diberi komen oleh para muhaddithin, di antaranya:

i - Kata al-Nawawi: "ia adalah sebuah hadith dha'if, tetapi diterima." (Fatawi al-Imam al-Nawawi, (m.s 4.)

ii - Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula: "maka ia adalah sebuah hadith yang tidak sahih marfu'nya". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Zad al-Ma'ad fi Hadyi Khayri al-'Ibad (1/523). Beirut: Muassasah al-Risalah, ctk 28, 1995M) Al-San'ani turut menukilkan perkataan Ibn al-Qayyim dalam memberikan komentar terhadap hadith ini dengan katanya: "Sesungguhnya hadith talqin ini, tidak syak bagi seorang yang mengetahui (ilmu) hadith, tentang kepalsuannya." (Subul al-Salam (2/180).)

iii - Ibn Hajar al-'Asqalani berkata: إسناده صالح "isnadnya (sandarannya) soleh (baik) dan ia dikuatkan oleh al-Dhiya' dalam (kitab) Ahkamnya". (Al-'Asqalani, Ibn Hajar. Talkhis al-Habir.Madinah Munawwarah ctk. 1964M.) Namun beliau sekali lagi mengulas hadith ini dengan katanya: "…sebuah hadith yang gharib, manakala sanad hadith dari kedua-dua tariq (jalan periwayatan) sangat lemah." (Ibn Hajar al-'Asqalani. Amali al-Azkar. Dinukilkan daripada nota kaki Zad al-Ma'ad oleh pentahqiqnya - Syu'aib al-Arnauth- (1/523).)

iv - Al-Syaukani mengatakan bahawa: "di dalam isnadnya terdapat 'Asim Bin Abdullah, dia dha'if". (Al-Syaukani. Naili al-Autar. (4/139), Beirut: Dar al-Jil, 1973M.)

v - Al-Albani memberikan komen, katanya: "ia (hadith) munkar di sisiku, kalaupun tidak palsu." (Al-Albani. Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah wa al-Maudhu'ah. (2/64). Beirut: al-Maktab al-Islami, ctk. 1990M.)

Persoalan yang timbul ialah:

i - Hadith ini disebut oleh Ibn Hajar sebagai إسناده صالح "sandarannya elok". Ini menimbulkan sangkaan bahawa hadith ini sahih dan boleh dibuat hujah.

ii - Hadith ini terangkat menjadi حسن لغيره hasan lighairihi lantaran ada hadith-hadith lain yang menguatkannya.

iii - Sekalipun hadith ini pada kedudukan dha'if, namun ia boleh digunakan dalam urusan فضائل الأعمال Fadhail al-A'mal (kelebihan amalan).

iv - Di antara usul mazhab Ahmad Bin Hanbal ialah mengambil riwayat mursal dan dha'if serta mengutamakannya daripada qias manusia.

Di sini dihuraikan satu persatu persoalan-persoalan tersebut.

Pertama:

Menghukum sesuatu hadith itu sebagai sahih bukan sekadar bergantung kepada sanadnya sahaja. Matan hadith turut dinilai bagi menentukan kesahihannya. Para muhaddithin tidak akan menyatakan sesuatu hadith sahih tanpa merujuk kepada kedua-dua aspek tersebut. Suatu hadith yang sahih sanadnya sekalipun tidak semestinya menjadikan matannya juga sahih. (Lihat: Ibn Kathir. Ikhtisar 'Ulum al-Hadith. (m.s 37), Beirut: Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, ctk 3, 1408H.)

Dalam hal ini, apabila muhaddithin (termasuk Ibn Hajar) menyatakan sesuatu hadith itu sebagai صحيح الإسناد "sahih sandarannya atau sanadnya" atau حسن الإسناد "sanadnya hasan", tanpa menyatakan hadith itu sahih atau hasan, menunjukkan bahawa kemungkinan terdapat 'illah (kecacatan) atau syaz (keganjilan) pada matannya atau mungkin juga pada sanad itu sendiri. Ini kerana seorang muhaddith itu tidak akan mengenepikan istilah: sahih atau hasan kepada istilah: sanadnya sahih atau seumpamanya melainkan dia melihat terdapat sesuatu padanya." (Ibn Hajar al-'Asqalani, dinukilkan daripada Tohir al-Jaza'iri. Taujih al-Nazar ila Usul al-Athar. (1/376), Beirut: Maktab al-Matbu'at al-Islamiyyah bi Halab, ctk 1, 1995M).

Berhubung sanad hadith Abi Umamah ini telah dinyatakan ulasan al-Haithami bahawa di dalamnya terdapat sebilangan yang tidak beliau kenali. Ibn Hajar juga turut menegaskan bahawa kedua-dua jalan hadith ini lemah. Justeru itu, ia memberikan lebih penjelasan terhadap pendirian sebenar beliau.

Di sudut matannya jelas terdapat frasa yang sangat meragukan bahawa ia datang dari nabi S.A.W. Bagaimana mungkin Munkar dan Nankir mengambil tindakan tidak menyoal orang yang mati semata-mata kerana ia telah diajarkan soalan dan jawapan bocor! Kalau ini berlaku, nescaya tiada siapa yang akan disoal oleh mereka di Malaysia ini khasnya. Ini suatu kepercayaan yang lebih buruk dari keengkaran terhadap azab kubur. Ia menyanggahi nas al-Quran berhubung sifat dan tugasan malaikat-malaikat itu. Allah S.W.T berfirman tentang sifat para malaikat:

يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Mafhumnya: "Mereka (para malaikat) takutkan Tuhan mereka dari atas mereka, dan mereka melaksanankan apa yang diperintahkan kepada mereka". (an-Nahl: 50)

Hadith 'Uthman Bin 'Affan jelas menunjukkan keadaan sebaliknya. Mayat itu disoal sedangkan nabi masih di perkuburan. Kalau mayat tidak disoal dek kerana talqin tentu lebih baik nabi S.A.W ajarkan sahaja soalan dan jawapan bocor itu. Tetapi yang didapati dari hadith 'Uthman itu ialah nabi S.A.W hanya mengarahkan para sahabat berdoa untuk si mati. Melengahkan pengajaran di waktu keperluan adalah suatu yang mustahil bagi sifat risalah rasulullah.

Selain itu, dalam hadith ini menjelaskan bahawa nabi S.A.W mengarahkan agar si mati itu dinasabkan kepada ibunya. Jika tidak diketahui namanya, hendaklah dinisbahkan kepada Hawa (isteri nabi Adam a.s). Ini jelas bertentangan dengan hadith yang lebih kuat iaitu daripada Ibn 'Umar r.a dari nabi S.A.W sabdanya:

الغادر يرفع له لواء يوم القيامة يقال له هذه غدرة فلان بن فلان

"Pembelot akan diangkat baginya panji-panji pada hari Kiamat, dikatakan kepadanya: ini adalah pembelotan Fulan Bin Fulan (bapanya)". (H.R al-Bukhari)

Al-Bukhari meletakkan hadith ini di bawah bab: Manusia diseru dengan dinasab kepada bapanya. Justeru itu Ibn al-Qayyim menolak pendapat yang menyatakan bahawa manusia akan dibinkan kepada ibunya. Beliau menyatakan bahawa hadith Abi Umamah itu disepakati akan kedha'ifannya, jadi tidak boleh didirikan hujah dengannya. Sementelah pula ia menyanggahi hadith yang lebih sahih (hadith Ibn 'Umar tadi). (Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Hasyiah Ibn al-Qayyim (13/199), Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, ctk 2, 1995M.)

Justeru itu, hadith ini mengandungi 2 percanggahan yang ketara dengan nas yang lebih kukuh iaitu: tentang malaikat yang tidak menyoal si mati dan mayat dipanggil dengan nama ibunya selepas mati. Disebabkan percanggahan di antara kata-kata itu dengan fakta yang thabit dari nas al-Quran dan hadith yang sahih ditambah pula sanadnya yang lemah; para muhaddithin menghukum hadith Abi Umamah ini sebagai munkar, gharib, sangat lemah bahkan palsu.

Kedua:

Hadith ini tidak mungkin boleh naik ke martabat hasan lighairihi. Ini kerana beberapa sebab:

i - Syarat untuk hadith dha'if dinaikkan menjadi hasan lighairihi mestilah tidak terlalu dha'if dan tiada kecacatan ataupun keganjilan (tidak meyalahi nas yang lebih kukuh).Sedangkan hadith ini ada keganjilan pada matannya, bahkan ia lebih sesuai dihukum palsu. Hadith palsu tidak mungkin terangkat menjadi hasan.

ii - Hadith-hadith lain yang kononnya mengukuhkan hadith ini tidak lebih daripada riwayat-riwayat maqtu'at (terputus) dan mauqufat (terhenti setakat sahabat). Sedangkan hadith yang sahih seperti hadith 'Uthman tidak menggambarkan apa yang terkandung di dalamnya. Hadith 'Uthman tentang doa. Begitu juga hadith al-Bara' Bin 'Azib hanya menggambarkan tentang beberapa soalan (termasuk soalan-soalan itu) dan kemampuan mayat menjawabnya adalah berdasarkan keadaannya di dunia. Sedangkan hadith Abi Umamah adalah tentang soalan dan jawapan ramalan. Ia berbeza dari hadith 'Uthman dan al-Bara’. Justeru itu Ahmad Bin Hanbal menyatakan: "Aku tidak melihat sesiapa pun melakukannya melainkan ahli Syam ketika kematian Abu al-Mughirah. (Subul al-Salam (2/180).)

Ketiga:

Para ulama telah berbeza pandangan tentang penggunaan hadith dha'if. Ia terbahagi kepada tiga: (Lihat: al-Qasimi, Muhammad Jamal al-Din. Qawa'id al-Tahdith min Funun Mustalah al-Hadith. (m.s 116-117), Beirut: Dar al-Nafais, ctk 1, 1987M.)

Pandangan pertama:

Ia tidak diamalkan secara mutlak. Tidak dalam hukum hakam dan tidak juga dalam Fadha'il (kelebihan). Ini adalah pegangan Yahya Bin Ma'in, al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hazm.

Pandangan kedua:

Ia boleh diamalkan secara mutlak. Kata al-Suyuti: Ini pendapat Abu Daud dan Ahmad; kerana mereka melihat bahawa ia lebih kuat daripada pendapat manusia. Menisbahkan pegangan ini kepada al-Imam Ahmad Bin Hanbal adalah tidak tepat, ia akan dibincangkan pada tempatnya.

Pandangan ketiga:

Ia boleh diamalkan dalam bab fadha'il dengan syarat ia tidak membabitkan soal mengithbat hukum seperti halal atau haram, wajib, sunat, makruh atau seumpamanya. Jika ia berkaitan dengan galakan dan ancaman, dosa dan pahala, maka dilonggarkan syarat periwayatannya.

Sebilangan muhaddithin memperincikan lagi syarat-syarat mengambil hadith dha'if iaitu: (Rujuk: Tohir al-Jazairi. Taujih al-Nazar. (1/653) dan Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan. Thaqafah al-Da'iyah. (m.s 43),Kaherah: Dar al-Salam, ctk 4, 1993M.)

i - Ia tidak terlalu dha'if atau hampir kepada palsu.

ii - Ia berjalan di atas sesuatu yang syar'ie yang diamalkan berdasarkan nas al-Quran atau al-sunnah yang sahih.

iii - Hendaklah tidak beri'tiqad ketika bersandar kepadanya (hadith dha'if) bahawa thabit dari nabi S.A.W.

Dalam hal hadith Abi Umamah ini, ia langsung tidak mengenai mana-mana satu daripada syarat yang dinyatakan. Justeru itu kita dapati al-Muti'ie ketika memberi komentar terhadap perkataan al-Nawawi berkata:

ولا يقوم الضعيف حجة لثبوت الأحكام فضلا عن أمر تعم به البلوى…مثل هذه الأحاديث التي تبلغ في وهنها حد الوضع، وسؤال التثبيت ليس من قبل التلقين، وإنما هو من قبيل الدعاء له بالثبات واليقين.

"dan hadith dha'if tidak boleh menjadi hujah bagi mengithbatkan hukum hakam apatah lagi suatu perkara yang menjadi umum al-balwa (sepatutnya menjadi pengetahuan umum) …seperti hadith-hadith ini (bab talqin mayat) yang mana kelemahannya mencapai tahap palsu. Adapun doa (supaya) tetap teguh -dalam hadith 'Uthman- bukan talqin, ia adalah doa agar si mati tetap dan yakin". (Lihat: Al-Muti'ie, komentar kepada Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab. (5/274-275))

Keempat:

Sangkaan bahawa al-Imam Ahmad mengutamakan hadith dha'if daripada pendapat manusia, adalah tidak tepat. Beliau sama sekali tidak memaksudkannya dengan hadith al-dhaif al-matruk (lemah lagi ditinggalkan). Ini kerana hadith dha'if di sisinya terdapat beberapa peringkat. Justeru yang beliau maksudkan ialah hadith hasan seperti hadith 'Amru Bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya dan seumpamanya.

Ini jelas lantaran di zaman Ahmad Bin Hanbal istilah hadith hasan yang mertabatnya kurang sedikit daripada hadith sahih (namun kedua-dua kategori ini dijadikan hujah syara') belum diperkenalkan. Ia hanya muncul selepas kemunculan al-Tirmizi. Sedangkan dha'if itu pula dibahagikan kepada dha'if yang ditinggalkan (ditolak dan tidak diriwayatkan) dan dha'if yang tidak ditolak. (Lihat: Ibn Taimiyyah, Ahmad Bin Abd. Al-Halim. Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, (4/341), Muassasah Qurtubah, ctk 1, 1406H dan Al-Asyqar, Dr. Umar Sulaiman. Al-Madkhal ila Dirasah al-Madaris wa al-Mazahib al-Fiqhiyyah, (m.s 155), Jordan: Dar al-Nafa'is, ctk 1, 1996M.)

Malangnya orang yang tidak mengetahui perkara ini menyangka bahawa Ahmad Bin Hanbal menggunakan hadith yang didha'ifkan oleh muhaddithin seperti al-Tirmizi dan lainnya sebagai hujah syarak.

Ulasan kedua:

Hadith atau athar Dhamrah Bin Habib itu adalah maqtu' (terputus sanad) dan terhenti setakat beliau sahaja. Kata al-Iraqi dan al-Nawawi: Isnadnya dha'if. Kata Ibn al-Qayyim: tidak sahih. Kata al-Bassam: Athar ini dha'if, tidak boleh didirikan hujah dengannya, ia kembar kepada hadith Abi Umamah pada maknanya dan pada kedha'ifannya. (Rujuk: al-Bassam. Tawdih al-Ahkam min Bulugh al-Maram. (3/252-253))

Sekali lagi ditekankan bahawa hadith dha'if tidak dijadikan hujah untuk syariat juga tidak untuk mengithbatkan sesuatu amalan. Bahkan beramal dengannya boleh dikategorikan sebagai bid'ah yang tercela.

Ulasan ketiga:

Hadith 'Uthman Bin 'Affan itu sahih. Oleh demikian, berdoa kepada si mati selepas dikebumikan adalah lanjutan daripada doa untuknya di dalam solat janazah. Doa untuk mayat thabit melalui kitab, sunnah dan ijma'. Bahkan ia juga amalan dibezakan di antara kubur seorang muslim dengan seorang munafiq. Firman Allah S.W.T tentang golongan munafiqin:

اشْتَرَوْا بِآيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلا فَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِهِ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Mafhumnya: "Jangan sekali-kali kamu solat ke atas seorangpun yang mati dari kalangan mereka dan jangan kamu berdiri di sisi kuburnya…" (al-Taubah: 9)

Kata al-Sabuni: "…jangan berdiri di kuburnya: untuk mengkebumikannya atau untuk menziarahi dan mendoakannya". (Al-Sobuni, Muhammad 'Ali. Sofwat al-Tafasir, (1/515), Beirut: Dar al-Fikr, ctk 1, 1996M). Maksudnya: mayat munafiq dilarang dari didoakan di kuburnya sedangkan ia adalah amalan yang dituntut bagi mayat muslim.

Sebenarnya menyamakan perbuatan berdoa untuk si mati dengan upacara talqin yang diamalkan masyarakat kita adalah tidak benar. Nabi hanya mengarahkan berdoa tanpa sebarang upacara tambahan dan ia dilakukan secara fardi (masing-masing). Baginda tidak menyuruh dan tidak mengajar untuk berdoa secara berjamaah di situ seperti yang diamalkan.

Begitu juga tindakan menyandarkan atau menisbahkan amalan ini kepada ulama-ulama tertentu atau kepada mazhab Syafi'e adalah tidak tepat. Tiada perkataan al-Imam al-Syafi'e yang menyeru kepada amalan ini. Begitu juga Syeikh Zakaria al-Ansari umpamanya hanya menyatakan sunat supaya sebilangan manusia berdiri di sisi kubur, lalu mendoakannya (Zakaria al-Ansari. Fath al-Wahhab. (1/100), Dar al-Fikr, tanpa tarikh). Beliau tidak pula menyatakan upacara seperti mana yang diamalkan di Malaysia.

Ulasan keempat:

Hadith al-Bara' Bin 'Azib juga sahih. Tetapi ia juga seperti hadith 'Uthman sama sekali tidak menunjukkan kepada kaifiat talqin yang diamalkan. Nabi menerangkan tentang soalan yang bakal disoal tetapi baginda juga menjelaskan keadaan si mati berdasarkan iman dan taatnya. Tidak diajarkan jawapan kepadanya kerana ia tidak bermanfaat. Selain itu boleh difahami bahawa nabi S.A.W mengingatkan para sahabat yang hadir agar menginsafi suasana pengkebumian. Ia adalah waktu untuk rasa gerun terhadap hidup di alam barzakh dan khusyuk membuat persediaan yang rapi menghadapi soal Munkar dan Nakir. Ia hanya tazkirah untuk orang hidup bukan ajaran untuk si mati.

Di sini ia seolah-olah mengiyakan dakwaan bahawa talqin dilakukan untuk menginsafkan yang hidup. Malangnya, secara jujur bila diteliti kandungan khutbah talqin, kalimah-kalimah yang digunakan jelas ditujukan untuk si mati. Hanya sebahagian sahaja yang diserukan kepada hadirin. Jadi sebenarnya ia untuk siapa? Lisan al-hal menjelaskan bahawa ia memang ditujukan kepada si mati. Peringatan untuk yang hidup hanya tempelan sahaja.

Ulasan kelima:

Tidak terdapat di dalam mana-mana aliran mazhab Fiqh atau Usul Fiqh yang menyatakan bahawa amalan ahli Syam menjadi hujah syara'. Apa yang ada dalam perbahasan para Fuqaha' ialah tentang amalan ahli Madinah, bukan ahli Makkah atau Yaman atau Syam atau yang lain-lain. Ini kerana orang Madinah hidup bersama-sama para sahabat r.a yang menerima ajaran langsung dari baginda S.A.W. Baginda sendiri wafat di situ dan kebanyakan hidup baginda sebagai rasul adalah di sana. Jadi, logiknya mereka mngetahui amalan para sahabat yang tentunya telah belajar dari baginda nabi S.A.W.

Justeru kita dapati al-Imam Malik Bin Anas meletakkan amal ahli Madinah di tangga ke empat di dalam sumber istinbat hukum mazhabnya. Terdapat juga kecenderungan kalangan ulama di luar mazhab Maliki untuk menyokong hal ini. Namun jumhur ulama tidak meletakkannya sebagai hujah bahkan mengengkarinya. Kalau ini berlaku kepada amal ahli Madinah, tentu sahaja amal ahli Syam lebih tidak boleh dijadikan rujukan dan ukuran kebenaran.

Jadi, menyandarkan kesyar'ian sesuatu urusan berdasarkan kepada amalan penduduk tempat-tempat tertentu (dikecualikan Madinah yang khilaf di kalangan ulama) adalah bercanggah dengan manhaj yang mustaqim.

Ulasan keenam:

Hadith ini langsung tidak menyentuh perbuatan talqin selepas pengkebumian. Sebaliknya bagi mereka yang mempunyai secebis pengetahuan tentang hadith ini tentu memahami bahawa ia cuma mengarahkan agar orang yang sedang menghadapi maut diajar mengucapkan kalimah tauhid. Ia suatu tuntutan syarak kepada orang yang menemani atau menziarahi orang yang sedang menanti ajal. Tujuannya ialah supaya akhir perkataan yang dilafazkan sebelum menghembus nafas ialah: La ilaha illaLah. Inilah yang disebut oleh para ulama seperti al-Nawawi, Ibn Hajar, al-Sa'nani dan lain-lain lagi.

Ulasan ketujuh:

Di atas tanggapan bahawa si mati perlu diberi bantuan maka talqin dibacakan untuknya. Dalam situasi itu, pertolongan yang paling sesuai tentulah menerangkan terlebih dahulu soalan-soalan yang dijangka akan ditanya oleh Munkar dan Nakir. Tidak cukup dengan itu, jawapan-jawapan juga siap diberikan semoga tidak perlu tercari-cari lagi. Bahkan si mati dinasihati agar tetap tenang dan tidak gementar menghadapi temuduga malaikat itu, bimbang terlupa jawapan barangkali.

Menggunakan ayat 2 surah al-Maidah itu sebagai dalil di sini adalah tidak tepat. Ini kerana persoalan tentang mayat boleh mendengar perkataan orang hidup adalah suatu yang diperselisihkan oleh ulama. Namun jika diandaikan mayat memang boleh mendengar sekalipun, tiada dalil syar'ie yang membuktikan mereka beroleh manafaat daripada soalan-soalan dan jawapan-jawapan bocor itu. Tiada dalil yang boleh mempastikan bahwa si mati mampu menjawab soalan-soalan itu tanpa gagal selepas diajar. Hadith yang menerangkannya pun sangat lemah sebagaimana yang diterangkan terdahulu. Begitu juga bagaimana dapat dipastikan bahawa malaikat-malaikat itu hanya akan sampai dan bertanya si mati selepas dia diajar? Atau mungkinkah sewaktu pengajaran berlangsung si mati sudahpun bersenang lenang di alam barzakh atau sebaliknya?

Oleh itu, sangkaan memberi pertolongan itu tidak betul dan perbuatan itu (memberi soalan dan jawapan bocor) adalah tidak bermanafaat kepada si mati. Bukankah kalau ia berfaedah, para sahabat dan al-salaf al-soleh akan berlumba-lumba membacakan talqin kepada sanak saudara mereka yang meninggal dunia. Kenapa tiada suatu riwayat yang kuatpun tentangnya. Ia sepatutnya termasuk di dalam perkara: 'umum al-balwa (sesuatu yang dimaklumi ramai). Sebaliknya, riwayat yang kuat hanya menyebut tentang tazkirah dan doa untuk si mati, tiada yang lain.

Ulasan kelapan:

Menggunakan hadith Abi Umamah sebagai dalil atau sokongan kepada pendapat yang mengatakan mayat dapat mendengar dan mengetahui perihal orang hidup juga tidak betul. (Topik ini perlu dibahaskan lebih panjang lebar di ruangan lain). Ini kerana hadith itu sendiri terlalu rapuh untuk dipegang, ia sangat lemah kalaupun tidak sampai tahap palsu. Jadi tidak benar dakwaan: "…hadith yang berhubung dengan talqin (Abi Umamah dan Dhamrah) menjadi dalil syar'ie bahawa si mati mendengar seruan orang yang hidup…" (Mastika Hadith, lihat: (2/384))

Ulasan kesembilan:

Para ulama yang menyatakan sunat talqin hanya mengkhususkan kepada orang Islam yang sudah mukallaf sedangkan kanak-kanak tidak perlu ditalqinkan. Namun apa yang dilihat dalam pengamalan masyarakat kita ialah bacaan talqin turut juga dibacakan kepada mayat kanak-kanak. Pengarang buku: Talqin Melayu (pada m.s 44-47) umpamanya telah mencipta suatu bacaan khas bagi talqin kanak-kanak. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat kita sebenarnya langsung tidak tahu apa yang mereka lakukan. Mereka tidak pernah tahu atas sandaran apakah amalan ini dibuat. Apa yang dilaksanakan tidak lebih dari ikut-ikutan dan hasil kejahilan golongan yang bertopengkan agama. Jika ditegur, mereka lantas menegaskan: "…inilah yang kami dapati daripada tok nenek moyang kami, dan kami mengikut apa yang telah mereka wariskan". Bukankah ini jawapan yang diberikan oleh para penentang rasul-rasul Allah? Persamaan di antara mereka ialah sikap taqlid membuta tuli tanpa mahu berfikir, jauh sekali untuk melakukan anjakan paradigma.

وَكَذَلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَذِيرٍ إِلا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آثَارِهِمْ مُقْتَدُونَ (٢٣)قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُمْ بِأَهْدَى مِمَّا وَجَدْتُمْ عَلَيْهِ آبَاءَكُمْ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ (٢٤)فَانْتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ (٢٥)

Dan demikianlah halnya (orang-orang Yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang Yang berada Dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya Kami dapati datuk nenek Kami menurut satu jalan ugama, dan Sesungguhnya Kami hanya mengikut jejak mereka sahaja". Rasul itu berkata: "Adakah (kamu akan menurut juga mereka) Walaupun Aku membawa kepada kamu ugama Yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan ugama Yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?" mereka menjawab: "Sesungguhnya Kami tetap mengingkari apa Yang kamu diutuskan membawanya". Lalu Kami balas keingkaran mereka Dengan azab Yang membinasakan; maka perhatikanlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat Yang mendustakan Rasul-rasulNya. (az-Zukhruf: 23-25)