Monday, October 29, 2007

Qariin 1

Di sini suka ana ceritakan serba sedikit berkaitan qariin, untuk sekadar pengetahuan sahabat-sahabat sekalian.

Qariin dari segi bahasa membawa erti 'rakan' atau 'teman', manakala segi istilah ianya merujuk kepada makhluk halus yang tak nampak dek mata yang merupakan ciptaan Allah daripada kalangan jin. Orang kampung ana memanggil qariin ini dengan panggilan "gembaran" atau "kembar", bukan kerana makhluk ni dilahirkan kembar bersama seseorang manusia tetapi kerana makhluk ini sentiasa mendampingi seseorang sejak dilahirkan sehingga mati. Oleh itu senang cakap, qariin ini adalah jin yang menjadi pendamping manusia semenjak dia lahir sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Umumnya makhluk qariin ini adalah syaitan yang kerjanya untuk menghasut dan menggoda manusia supaya derhaka kepada Allah s.w.t. Berhasil atau tidaknya hasutan dan godaannya itu bergantung kepada anak Adam itu sendiri, sama ada untuk terpengaruh dan menerimanya atau menolaknya. Allah s.w.t. telah memberi peralatan yang cukup untuk kita menolak godaan-godaan tersebut, berupa akal fikiran yang waras serta disuluh dengan sinaran taufiq dan hidayah Allah yang diturunkanNya melalui Junjungan Nabi s.a.w. Oleh itu, jika sekiranya pilihan kita adalah untuk mengikut hasutan dan godaan si qariin itu, sedangkan dia mengetahui yang godaan tersebut adalah satu kederhakaan kepada Allah s.w.t., maka tidaklah boleh mempersalahkan yang lain selain diri kita sendiri.


Inilah yang dinyatakan Allah dalam surah al-Qaaf ayat 27-28:-

"(Semasa ia [yakni manusia] dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) [yakni yang menjadi qariinnya] berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong." Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (yang Aku akan menyeksa orang-orang yang bersalah)."
Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjadikan hidupnya berpandukan hukum-hakam Allah sebagaimana diturunkanNya, sentiasa mengingati Allah dan menjunjung titah perintahNya, nescaya dia akan dipelihara Allah dari terjebak dalam godaan-godaan si qariin, sebaliknya mereka- mereka yang lalai akan terperangkap dalam godaan-godaan tersebut, sebagaimana difirmankan Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 36:-

"Dan sesiapa yang berpaling tidak mengendahkan pengajaran (al-Qur`an yang diturunkan oleh Allah) ar-Rahman, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya (qariinnya) yang tidak renggang daripadanya (yakni sentiasa menyertainya)."
Setelah seseorang itu, mati maka qariinnya tadi yang seperti bangsa jin yang lain biasanya berumur panjang. Dia akan terus hidup dan jika ianya adalah syaitan maka dia akan terus melakukan kejahatan dan menggoda serta menyesatkan manusia. Antara kesesatan yang lumrah dilakukannya ialah dia akan menyerupakan dirinya dengan rupa manusia yang telah mati itu untuk tujuan-tujuan tertentu. Oleh itu, jika seseorang ketemu dengan "roh" seseorang yang telah mati, maka janganlah terus percaya bahawa yang ditemuinya itu adalah "roh" si mati, apatah lagi jika si mati itu orang kafir atau tholeh, kemungkinan besar yang ditemuinya itu adalah jin atau qariin yang menyerupai si mati tadi. Oleh kerana si qariin ini sentiasa mendampingi seseorang, maka dia mengetahui perkara-perkara sulit orang yang didampingnya itu.

Kat tanah air tercinta, antara yang telah memperkatakan mengenai makhluk qariin ini adalah Prof. Dr. Haron Din dalam siri ceramah beliau. YB Dr. Amran Kasimin juga menulis mengenai makhluk ini dalam beberapa tulisannya, Begitulah juga dengan Dato` Haji Ismail Kamus dalam buku terbarunya "Jin: Hakikat & Pengubatan". Tapi buat posting ini ana cuma nukilkan di sini Fatwa Mufti Kerajaan - 2000 yang difatwakan oleh Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam. Di mana dalam fatwanya berhubung "Ajaran Saihoni bin Tasipan" yang antara lain mendakwa boleh memanggil roh, turut memperkatakan mengenai makhluk qariin ini. Pada halaman 48 - 51 Fatwa tersebut, dinyatakan:-

**************************************************************
Manusia Mempunyai Qariin.

Telah sah dan sabit dalam hadis, bahawa setiap manusia itu ada qariin atau teman yang sentiasa bersamanya semenjak dia dilahirkan lagi sampailah dia meninggal dunia. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:-

Maksudnya: "Tiada seorang kanak-kanak pun yang dilahirkan melainkan tidak sunyi daripada tusukan (gangguan) syaitan, maka kanak-kanak itu pun menangis akibat gangguan syaitan itu, kecuali anak Maryam (Nabi 'Isa a.s.) dan ibunya (Maryam sendiri).
Untuk lebih jelas lagi dipetik pula riwayat Imam Muslim selanjutnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:-

Maksudnya: "Tiada seorang pun daripada kamu melainkan diwakilkan dengannya qariin daripada kalangan jin." Sahabat bertanya: "Apakah Tuan juga, wahai Rasulullah?" Nabi menjawab: "Ya, aku pun begitu juga, akan tetapi Allah telah menolongku menguasainya, maka dia pun Islam dan tidak menyuruh aku melainkan dengan kebajikan sahaja." (Erti fa aslama : qariin itu masuk Islam, atau aku (Rasulullah) terselamat daripada gangguan qariin itu, kerana Allah menolongku menguasainya)."
Dari maksud hadis-hadis ini menunjukkan qariin-qariin manusia itu kecuali qariin Nabi Muhammad s.a.w. adalah bersifat mengganggu dan merosak serta menyesatkan.

Walaupun manusia itu tidak berupaya menguasai jin, kecuali bagi orang yang diberikan izin oleh Allah seperti Nabi Sulaiman a.s., namun tidaklah terhalang daripada berlakunya kerjasama dan perhubungan di antara manusia dan jin pada mencapai sesetengah maksud manusia itu. Hubungan dan kerjasama ini boleh tercapai dengan berbagai cara dan keadaan. Perkara ini berlaku kepada sebahagian orang di zaman lampau mahupun zaman sekarang .

Menurut fatwa Syeikh al-Azhar, asy-Syeikh Jad al-Haq 'Ali Jad al-Haq, perkara bekerjasama dengan jin ini biasanya berlaku kepada dukun-dukun, tukang-tukang ramal dan tukang-tukang sihir, dan ada pun hubungan atau kerjasama itu pada masa sekarang disebut sebagai menghadirkan atau memanggil roh. (Bayaan li an-Naas 2 / 332 - 338).

Qariin daripada kalangan jin mempunyai kemampuan untuk berbohong dan mengada-adakan karut-marut, hatta meniru tuannya dalam berbagai keadaan seperti suara dan kadang-kadang juga rupa tuannya itu sendiri.

Qariin mempunyai pengetahuan tentang tuannya, sama ada yang zahir mahupun yang sulit-sulit.

Qariin-qariin boleh berhubung sesama mereka sendiri. Qariin juga ada kalanya menjadi pembantu kepada tuannya dalam kerja-kerja tertentu, sehingga kerja-kerja itu menjadi senang, ataupun sebaliknya kerja-kerja itu menjadi susah kerana qariin meletakkan halangan-halangan dan gangguan-gangguan. Selain daripada itu, boleh juga terjadi perkara-perkara yang lain lagi, berdasarkan alam jin itu mempunyai keanehan-keanehan yang tersendiri.

Maka apabila seseorang manusia itu berusaha dengan cara tertentu atau dengan berbagai jalan untuk menghadirkan atau mendatangkan roh, qariin orang itu akan berupaya menerima suara-suara, dan kemudian akan memberitahu berbagai hal dan berbagai perkara ghaib yang telah disepakati oleh para qariin melalui pertukaran maklumat sesama mereka. Selepas itu orang akan menyangka bahawa yang bercakap itu ialah roh orang mati yang telah dipanggil itu. Padahal yang bercakap itu ialah qariin-qariin sendiri yang membawa berita dan cerita yang bercampur-campur, yang direka-reka dan dusta ............

*********************************************
Oleh itu janganlah kita merasa hairan dengan amalan-amalan memanggil roh atau "tahdhirul arwah" atau omputeh kata "seance" yang kononnya telah berjaya mendatangkan roh orang mati yang dipanggil itu, sungguh yang dikatakan "roh" si kafir yang datang itu adalah qariinnya, oleh itu tidaklah pelik jika dia mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan si mati dahulu, bahkan si qariin boleh meniru suara dan signature si mati tadi. Begitu juga jangan mudah percaya dengan "kewalian" atau "kekasyafan" tok bomoh yang boleh beritahu mana hilangnya kunci kereta kita atau apa yang kita makan petang kelmarin, sebab mungkin tok bomoh tu diberitahu mengenai perkara itu oleh qariin kita. Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita dari godaan, tipuan dan permainan qariin dan segala jenis syaitan termasuklah yang berupa dengan rupa manusia...bersambung..

Wallahua'alam...

Sunday, October 28, 2007

Talqin Mayyit


Petang tadi semasa pulang dari Damanhur, ana teringat kepada perbincangan ringkas ana dengan Faizal Hasnol dan Mumtaz Juhdi berkaitan talqin. Di sini, ana bawakan sedikit perjelasan berkaitan bertalqin kepada si mayyit. Apakah hukum beramal dengannya dalam mazhab kita? Untuk makluman sahabat-sahabat sekalian, ini adalah salah satu lagi amalan yang sering diserang oleh sesetengah pihak yang berfikiran jumud. Hebat sungguh serangannya sehingga ada antara kita yang tergugah dalam melaksanakannya, seolah-olah ianya memang bid`ah yang ditegah. Sedangkan dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah, ianya dihukumkan mustahab (disukai/sunnat) bagi mayyit yang baligh. Silalah sahabat-sahabat sekalian rujuk kepada kitab-kitab mu'tabar dalam mazhab kita antaranya Tohfah dan hawasyinya, jilid 3, mulai mukasurat 227.

Di sini ana nukilkan sedikit dari "Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya - Di Kepala Batas", antara lain menyebut:-

Bahawasanya talqin mayyit itu hukumnya sunnat bukannya bid`ah dhalalah. Dalilnya:-

  • (1) Firman Allah ta`ala : ...... yang bererti "Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin."
  • (2) Hadis yang diriwayat oleh Thobarani fil Kabir marfu`an daripada Abi Umamah sabda Nabi s.a.w.:.....yang bererti "Apabila mati seorang daripada saudara kamu maka kamu ratakan tanah di atas kuburnya maka hendaklah berkata ia "Hai Fulan anak Fulanah", maka bahawasanya ia mendengar akan dia dan tiada ia jawab ........ hingga berkata ia - maka hendaklah ia berkata - Ingat olehmu barang yang engkau keluar atasnya daripada dunia iaitu syahadatu an la ilaha illaAllah wa anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu ...... hingga akhir riwayat."
  • (3) Atsar yang diriwayatkan oleh Sa`id bin Manshur daripada Rasyid bin Sa`id dan Dhamrah bin Habib dan Hakim bin 'Umair, berkata mereka itu:- ........... yang bererti "Apabila diratakan atas mayyit akan kuburnya dan berpaling manusia daripadanya adlah mensunnat mereka itu bahawa dikata bagi mayyit di sisi kuburnya - Wahai Fulan anak Fulanah - kata olehmu la ilaha illaAllah tiga kali - kata olehmu tuhanku Allah - agamaku Islam - nabiku Muhammad s.a.w. ....... hingga akhirnya.
  • (4) Aqwal al-'Ulama`:-......... yang bererti - "dan disunnat talqin orang yang baligh lagi berakal atau orang yang gila yang terdahulu oleh taklif." Telah berkata akan dia Imam Nawawi di dalam Raudhah dan Syaikhul Islam di dalam Asnal Mathalib dan Fathul Wahhab dan al-'Allamah Ibnu Hajar di dalam Tohfah dan Fathul Jawaad dan Syaikh Ramli di dalam Nihayah dan al-'Allamah al-Khathib di dalam Mughni dan beberapa ulama yang lain daripada mereka itu seperti Qadhi Husain dan Ibnu ash-Sholah.
  • Dengan segala nas yang tersebut itu nyatalah bahawa talqin mayyit kemudian daripada itu sunnat yang ada asalnya daripada Quran dan hadis dan atsar daripada sahabat dan perkataan ulama r.'anhum. Adapun firman Allah ta`ala ......."Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin", maka ayat ini umum kepada sekalian orang yang beriman sama ada hidup atau mati. Dan yang terlebih sangat berhajat seseorang kepada pengingatan itu ialah di masa ia di dalam kubur.
  • Ada pun Abi Umamah yang diriwayatkan oleh Thobarani sungguhpun dhaif akan tetapi disokong oleh beberapa syahid daripada hadis yang lain seperti hadis ...........yang bererti "Pintalah olehmu baginya akan ketetapan, maka bahawasanya ia sekarang sedang ditanya akan dia". Demikianlah tersebut di dalam Majmu' - dan hadis Ibnu 'Abbas yang diriwayat oleh Daruquthni di dalam sunannya - dan wasiat Amr bin al-'Aash yang diriwayat oleh Muslim - dan amal ahlu Syam. Lagi pula adalah talqin ini setengah daripada fadhail yang memadai pada mengisbat akan dia dengan hadis yang dhaif jua.

Sunniyyun Syafi`iyyun begitulah kedudukan talqin dalam mazhab kita, oleh itu mari teruskanlah bertalqin dan ditalqin nanti. Yang penting di sini, jangan melampau dalam sesuatu perkara. Begitulah serba sedikit penerangan daripada ana insan yang doif.

Walahu'alam...

Friday, October 26, 2007

Hujan Oh Hujan

Hujan merupakan anugerah Allah kepada kita. Biasanya ia turun sebagai rahmat untuk disyukuri, dan kekadang ianya menjadi bala` ujian untuk disabari. Air seperti juga api, boleh menjadi sebab kehidupan dan boleh juga menjadi pemusnah. Oleh itu, apabila hujan turun, maka disunnatkan kita memohon kepada Allah Tuhan yang menurunkan hujan tersebut, agar ianya menjadi hujan rahmat, hujan yang memberi manfaat kepada kita dan tidak membawa bahaya serta kemudaratan.


Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam "al-Adzkar" halaman 278 dalam "Bab maa yaquulu idzaa nazalal mathar" (Bab apa yang diucapkan tatkala turun hujan) bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. apabila melihat hujan turun, baginda berdoa:-

Allahumma shoyyiban naafi`aan
"Ya Allah, jadikan hujan ini hujan yang memberi manfaat"
Manakala pada halaman 280, Imam an-Nawawi rhm. menulis:-
Telah kami riwayatkan dalam Shohih al-Bukhari dan Shohih Muslim daripada Sayyidina Anas r.a. yang menyatakan: " Telah masuk seorang lelaki ke dalam masjid pada hari Jumaat tatkala Rasulullah s.a.w. sedang berdiri berkhutbah. Lelaki tersebut berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: "Wahai RasulAllah, telah binasa segala harta (akibat kemarau) dan telah terputus segala jalan (yakni usaha), maka mohonlah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami." Maka Junjungan s.a.w. pun mengangkat kedua tangan baginda seraya berdoa tiga kali dengan ucapan: "Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami." Anas berkata: "Demi Allah, tidak kami melihat satu awan pun di langit walau secebis antara kami dan bukit Sala`. Tiba-tiba muncul awan di langit seperti rupa perisai, maka tatkala awan tersebut berada di tengah langit, ia berkembang dan kemudian menurunkan hujan. Demi Allah, tidaklah kami melihat matahari selama seminggu (yakni terus menerus hujan turun selama seminggu). Kemudian telah masuk seorang lelaki kepada Junjungan Nabi s.a.w. pada Jumaat yang berikutnya sedang Junjungan berkhutbah. Lelaki tersebut berkata:- "Wahai RasulAllah, telah binasa segala harta (yakni sebab banjir) dan telah putus segala jalan (yakni usaha), maka mohonlah kepada Allah untuk menahannya dari turun (yakni menahan hujan dari berterusan turun)". Maka Junjungan Nabi s.a.w. pun mengangkat tangan baginda seraya berdoa:-

"Allahumma hawaalayna wa laa 'alainaa. Allahumma 'alal aakaami wadhz-dhziraabi wa buthuunil awdiyati wa manaabitisy-syajar"
"Ya Allah, jadikanlah hujan ini turun di sekitar kami dan tidak atas kami. Ya Allah, turunkanlah ianya atas segala gunung-ganang, bukit-bukau, lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan."

Seketika juga kami keluar dan berjalan di bawah sinaran matahari (yakni, hujan berhenti turun).
Mudah-mudahan dapat kita amalkan dua doa yang mubarak ini yang diajar oleh Junjungan s.a.w. untuk menyambut hujan agar ianya menjadi sesuatu yang bermanfaat dan tidak memudaratkan. Mudah-mudahan Allah selamatkan negara kita dari segala bencana dan malapetaka. Mudah-mudahan Allah memberikan kesabaran kepada saudara-saudara kita yang telah ditimpa bencana serta menggantikan kemusnahan yang mereka alami dengan yang baharu dan pahala yang berlipat ganda. Allahumma aamiin.

Selain dari itu, eloklah diamalkan juga Sholawat Habib Hasan Ahmad BaHarun untuk tatapan kalian. Mudah-mudahan dalam dijadikan wasilah untuk mengajukan permohonan bagi kesejahteraan diri, ahli keluarga, harta benda dan kaum muslimin sekaliannya dari segala bala bencana, malapetaka, kemalangan, wabak penyakit, kezaliman bahaya hujan dan sebagainya.

Ya Allah Ya Tuhanku
Limpahkanlah sholawat ta'dhzimMu
Atas Junjungan Maulana Muhammad
Sebaik-baik makhluk ciptaanMu

Sholawat yang dengan keberkatannya
Engkau selamat sejahterakan kami
Juga ahli keluarga kami, anak-anak kami
Kaum kerabat kami, orang yang kami cintai
Guru-guru kami, murid-murid kami
Rakan taulan kami, jiran tetangga kami
Engkau selamat sejahterakan
Segala rumah kediaman kami, masjid kami
Ma'had kami, madrasah kami,
Ladang kami, pejabat tempat kerja kami,
Sekalian tempat kami dan segala harta-benda kami,

Dari bahaya gempa bumi dan pergerakannya
Dari bahaya hujan, angin, petir dan sebagainya
Dari bahaya kereta, kapal terbang, kapal laut dan lain kenderaan
Dari bahaya wabak, bala bencana, malapetaka dan seumpamanya
Dari bahaya jin, manusia, haiwan, thoghut, syaitan dan tipuannya
Dari bahaya jatuh, binasa, terbakar, tenggelam dan segala musibah
Dari bala` pada urusan agama, dunia dan akhirat

Kabulkanlah Ya Ilahi
Demi jah tuah Junjungan Nabi Pilihan al-Musthofa
Limpahkanlah juga sholawat
Ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda
Bersama-sama salam kesejahteraan yang sempurna

Thursday, October 25, 2007

Aadaabul Ikhtilaf

Oleh : Abu Anas Fathurrahman bin Dawoed
BA Syariah, Universiti Islam Madinah Guru Agama, Madrasah Wak Tanjong al-Islamiah

Pendahuluan

Isu perbezaan pendapat merupakan sunnatullah yang tidak dapat dielakkan, ianya adalah suatu realiti yang berpunca dari kepelbagaian tahap minda atau keupayaan mental, perbezaan bahasa dan latar belakang, begitu juga dengan persepsi seseorang yang berbeza terhadap sesebuah dalil atau nas. Kesemuanya ini secara tidak langsung menimbulkan kepelbagaian serta percambahan pandangan dan pendapat.

Salah satu tanda kebesaran Allah ialah mencipta makhluk dengan keunikannya tersendiri. Setiap makhluk yang diciptakan dengan keunikannya menunjukkan tanda kebesaran Allah. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa perbezaan ini boleh berlaku sejak dari zaman sahabat sehinggalah ke hari ini. Al-Imam ash-Shaatibi di dalam kitabnya al-I'tisom menyebut:

"Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku pada masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ianya berlaku pada zaman khulafa' ar-Raasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para taabiin dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain" (al-I'tisom 2/191)

Hal ini juga menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah kepada umat manusia.

Al-Qaasim bin Muhammad bin Abi Bakar as-Siddiq dalam hal ini ada menyatakan: "Sesungguhnya perbezaan pendapat dikalangan sahabat adalah satu rahmat bagi manusia" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/901)

Berkata Umar bin Abdul Aziz: "Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeda pendapat, kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/902)

Telah berkata Imam Malik: "Sesungguhnya perbezaan pendapat di kalangan ulama' adalah rahmat dari Allah ke atas umat ini, setiap seseorang di kalangan mereka mengikut apa yang benar pada pandangannya, setiap dari mereka berada dalam petunjuk dan setiap dari mereka inginkan keredhaan Allah" (Kasyful Khafa' 1/68)

Adab-Adab Dalam Berbeza Pendapat


Perbezaaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam terdahulu dalam sejarah awal Islam dan masih berlaku hingga kini adalah sebahagian daripada manifestasi kepelbagaian ini. Fenomena ini bermanfaat dan positif sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab-adab dan etika yang betul sepertimana yang digariskan oleh syara'. Perlu diketahui bahawa adanya perkara-perkara yang boleh kita menerima perbezaan pendapat dan inilah yang dinamakan sebagai perkara-perkara juz'i (cabang) atau zanni (tidak muktamad), manakala dalam perkara-perkara kulli (dasar) atau qat'i (muktamad) maka kita tidak sekali-kali boleh mempertikaikannya.

Ulama' telah menetapkan beberapa garis pandu mengenai adab-adab dan etika dalam berbeza pendapat, di antaranya:

>1. Ikhlas dan jauhkan diri dari mengikut hawa nafsu.
Ikhlas adalah syarat agar amalan kita dapat diterima oleh Allah. Maka adalah satu kewajipan bagi seseorang yang ingin menegakkan atau mencari kebenaran supaya menghindarkan dirinya dari hawa nafsu.

Sifat kemegahan pada diri sendiri dalam mencari kebenaran juga adalah suatu sifat yang harus dihindarkan agar kita tidak digolongkan dalam sabda Rasulullah : "Barangsiapa yang menuntu ilmu untuk bertikam lidah dengan para ulama', atau ingin memalingkan wajah-wajah manusia kepadanya maka Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka" (at-Tirmizi 414)

Salah satu dari tanda-tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran walaupun datangnya seseorang yang lebih rendah martabatnya, sepertimana yang berlaku kepada Amirul mu'minin Umar di mana beliau telah menerima kebenaran walaupun datangnya dari seorang perempuan yang lebih rendah martabatnya.

2. Mengembalikan segalanya pada al-Quran dan Sunnah dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.
Firman Allah yang berbunyi:
"Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan Rasul" (an-Nisa' 59)

Menjadi satu kewajipan bagi setiap insan untuk menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai tempat rujukan yang paling utama dan menjadikannya alat neraca yang menimbang setiap pendapat yang dikeluarkan.

Allah merahmati para ulama' yang sentiasa memberi peringatan kepada kita agar tidak mengambil kata-kata mereka seratus peratus melainkan setelah kita nilai ianya dengan al-Quran dan Sunnah. Bukan satu di antara mereka yang mengatakan "apa yang kamu dapat dariku mengenai suatu pendapat yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah maka campakkanlah ianya ke tembok"

Orang yang ikhlas tidak hanya memikirkan untuk mengalahkan lawannya sebaliknya dia lebih mementingkan kebenaran walaupun kebenaran itu datang dari lawannya.

3. Tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama' lain dalam masalah-masalah ijtihaadiyyah.

Satu perkara yang harus kita terapkan dalam mana kita berbeda pendapat ialah jangan sesekali kita menghina atau merendahkan pandangan orang lain selagimana ianya berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh diperselisihkan oleh syara' iaitu perkara- perkara juz'i (cabang) atau zanni (tidak muktamad).

Imam al-Auzaa'i telah ditanya mengenai seorang lelaki yang mencium isterinya, samada ianya membatalkan wuduk atau tidak. Beliau menjawab: "jika aku ditanya maka aku akan menjawab, wajib ke atasnya berwuduk, tetapi jika dia tidak berwuduk maka aku tidak akan mencela atau menghinanya". (Fathul Barr Fi Tartib at-Tamhid 3-245)

4. Menghormati pandangan ulama' yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah juz'i dan mengambil pandangannya jika perlu.
Contoh tauladan lain yang boleh diambil ialah dari kisah imam besar kita al-Syafi‘e rahimahullah yang mengimami solat subuh di masjid berhampiran kubur Abu Hanifah. Beliau solat tanpa membaca doa qunut dan apabila ditanya oleh seseorang sehabis solat, beliau menjawab: "Adakah aku ingin melakukan sesuatu yang berlainan dari apa yang diajar oleh Abu Hanifah padahal aku berada berhampirannya". (Hujjatullah al-Balighah 335)

5. Meninggalkan beberapa perkara sunnah kerana tidak mahu menyanggahi orang ramai.
Seringkali para ulama' memberi peringatan di dalam kitab-kitab mereka tentang perkara ini. Agar kita meninggalkan beberapa perkara yang kita anggap sunnah demi perpaduan dan demi menghormati pandangan ulama' yang lain apabila kita berada di tempat atau di majlisnya.

Berkata Abdur Rahman bin Yazid: Kami bersama Abdullah bin Mas'ud. Ketika kami masuk ke masjid Mina dan amirul mu'minin sedang menjadi imam pada ketika itu, lalu Ibnu Mas'ud pun bertanya: "Berapa rakaatkah amirul mu'minin solat?" mereka menjawab: Empat rakaat. Lalu Ibnu Mas'ud melakukan solat empat rakaat. Setelah selesai solat kami bertanya kepada Ibnu Mas'ud: "Tidakkah kamu telah memberitahu kami bahawa Rasulullah dan Abu Bakar telah melakukan solat dua rakaat?" Beliau menjawab: "Ya, bahkan sekarang juga aku mengatakan demikian, akan tetapi Uthman menjadi imam dan aku tidak mahu menyanggahinya". (as-Sunan al-Kubra 3/144).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam majmu' fataawa berkata: "Jika seorang ma'mum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu solat fajar atau solat witir maka hendaklah dia qunut bersama imam, samada imam berqunut sebelum atau selepas ruku'. Jika imam tidak melakukan qunut maka hendaklah ma'mum tidak melakukannya bersama imam, walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan ma'mun berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi perpaduan" (majmu' fataawa 22/268)

6. Menjauhi sifat ta'assub (fanatik) dan berkelompok.
Salah satu sifat yang harus kita hindarkan untuk memperolehi jalan kebenaran dan tidak menegakkan benang yang basah ialah sifat fanatik terhadap pegangan mazhab, kumpulan, negara atau guru-gurunya. Sifat fanatik dan berkelompok hanya akan menjadikan orang yang berbeza pendapat tidak mahu berganjak dari pandangannya. Apa yang mereka lakukan bukanlah semata-mata kerana Allah Taala tetapi disebabkan faktor-faktor lain.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengatakan: "Cintailah seseorang dengan berpatutan kerana mungkin dia kelak akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah seseorang secara berpatutan kerana mungkin kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai." (Timizi 1920)

Tanamkan dalam diri dengan pegangan bahawa setiap manusia boleh diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad , kerana hanya baginda sahajalah yang ma'som dan terhindar dari kesilapan.

7. Utamakan sikap persaudaraan (ukhuwwah)

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu." (al-Hujurat 10)

Adakalanya di dalam perbincangan untuk mendapatkan kebenaran akan terjadi perselisihan dan pertelagahan, maka di waktu itu hendaklah kedua belah pihak menyedari bahawa perpaduan dan persaudaraan itu lebih diutamakan dari perpecahan.

Banyak lagi perkara-perkara penting yang harus diterapkan dalam perbincangan serta perdebatan untuk meraih kebenaran. Apa yang disebutkan hanyalah beberapa perkara penting yang harus ditekankan. Perhatikanlah kata-kata Dr Yusuf al-Qardhawi mengenai perkara ini: "Para pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jamaah dan merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun kebencian yang batin. Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang setanding dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan. Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah" (as-Sahwah al-Islamiyyah 27)

Perbahasan di kalangan bijak pandai agama haruslah diteruskan dan disuburkan agar ianya dapat menjana generasi yang lebih peka dan lebih terbuka mindanya. Akan tetapi jika perbahasan yang berlaku tidak didasari oleh rasa ikhlas dan menjauhkan dari sifat ta'assub, maka dari perbahasan tersebut akan lahirlah perbalahan. Adab-adab dalam berbeza pendapat harus diterapkan di dalam diri kita agar perbahasan dan perbezaan yang berlaku dikalangan umat Islam menjadi satu rahmat bagi kita dan bukannya satu bencana yang melanda. Wallahu A'lam

Rujukan
- Raf'ul Malam an Aimmatil A'lam Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Maktabul Islami.
- Al-Khilaf bainal Ulama' Asbaabuhu wa Mauqifuna Minhu, Syeikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimeen, http://www.ibnothaimeen.com
- Jaami' Bayaanil Ilm, Abu Naim al-Asbahani Matbaah as-Saadah.
- Sunan ad-Daarimi, Abdullah bin Abdur Rahman, Dar ibn Hazm.
- Majmu' al-Fataawa Islam Ibn Taimiyyah Maktabah al-Obaikan
- Fathul Barr fi at-Tartib al-Fiqhi li Tamhid Ibn Abdil Barr, Muhammad al-Maqrawi, Majmu' at-Tuhaf an-Nafais ad-Dauliah
- As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi, Dar al-Kutubul al-Ilmiah
- Fikhul Khilaf Dr Awadh bin Mohd Al-Qarni, Dar al-Andalus al-Khadra'
- Adabul Ikhtilaf, Said bin Abd al-Qadir,
- al-I'tisom, Ibrahim bin Musa, Maktabah at-Tauhid
- As-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al- Mazmum, Yusuf al-Qardhawi, Dar al-Sahwah

Wednesday, October 24, 2007

Jirusan air di atas kubur


Imam kita asy-Syafi`i meriwayatkan daripada Ibraahiim bin Muhammad daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahandanya bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. telah menyiram (air) atas kubur anakanda baginda Ibrahim dan meletakkan atasnya batu-batu kerikil. Riwayat ini terkandung dalam "Musnad al-Imam al-Mu`adzhdzham wal Mujtahid al-Muqaddam Abi 'Abdillah Muhammad bin Idris asy-Syafi`i r.a.", juzuk 1, halaman 215.

Maka perbuatan baginda inilah yang dijadikan dalil oleh para ulama kita untuk menghukumkan sunnat menjirus atau menyiram air ke atas pusara si mati diiringi doa agar Allah mencucurikan rahmat dan kasih sayangNya kepada almarhum/almarhumah. Amalan ini sudah sebati dengan masyarakat kita, walaupun sesekali ada yang mempertikaikannya.

Pihak yang melakukannya pula ada yang hanya ikut-ikutan sahaja tanpa mengetahui hukumnya dalam mazhab yang kita pegangi. Ada yang melakukannya tetapi tidak kena caranya sehingga berubah hukumnya dari sunnat menjadi makruh. Untuk manfaat bersama, amalan menjirus air ke kubur dipandang SUNNAT dalam mazhab kita Syafi`i. Tetapi yang disunnatkan hanya dengan air semata-mata dan bukannya air mawar sebagaimana kelaziman sesetengah masyarakat kita. Menjirus air dengan air mawar dihukumkan MAKRUH kerana ianya merupakan satu pembaziran.

Dan mutakhir ini, timbul tradisi yang tidak sihat, di mana penziarah, terutama dari kalangan berada, membuang duit untuk membeli jambangan bunga untuk diletakkan di atas pusara, persis kelakuan dan perlakuan penganut agama lain. Kalau dahulu, orang hanya memetik bunga-bungaan yang ditanamnya sendiri di sekeliling rumah seperti daun pandan, bunga narjis dan sebagainya yang diperolehi dengan mudah dan tanpa sebarang kos. Ini tidaklah menjadi masalah kerana boleh dikiaskan perbuatan Junjungan yang meletakkan pelepah tamar atas kubur.

Tetapi menghias kubur dengan jambangan bunga yang dibeli dengan harga yang mahal, maka tidaklah digalakkan bahkan tidak lepas dari serendah-rendahnya dihukumkan makruh yakni dibenci Allah dan rasulNya dan diberi pahala pada meninggalkannya, seperti juga menjirus kubur dengan air mawar. Maka hendaklah dihentikan perbuatan menghias-hias kubur secara berlebihan, membazir dan membuangkan harta. Adalah lebih baik jika wang yang digunakan untuk tujuan tersebut disedekahkan kepada faqir dan miskin atas nama si mati, dan ketahuilah bahawa sampainya pahala sedekah harta kepada si mati telah disepakati oleh sekalian ulama tanpa ada khilaf.


Dalam "I`anatuth Tholibin" karya Sidi Syatha ad-Dimyathi, jilid 2, mukasurat 135 - 136 dinyatakan:-

و يسن أيضا وضع حجر أو خشبة عند رأس الميت،
لأنه صلى الله عليه و سلم وضع عند رأس عثمان بن مظعون
صخرة،
و قال: أتعلم بها قبر أخي لأدفن فيه من مات من أهلي.
و رش القبر بالماء لئلا ينسفه الريح،
و لأنه صلى الله عليه و سلم فعل ذلك بقبر ابنه إبراهيم.
راوه الشافعي، و بقبر سعد رواه ابن ماجه،
و امر به في قبر عثمان بن مظعون راوه الترمذي.
و سعد هذا هو ابن معاذ.
و يستحب ان يكون الماء طاهر طهورا باردا،
تفاؤلا بأن الله تعالى يبرد مضجعه.
و يكره رشه بماء ورد و نحوه، لأنه إسراف و إضاعة مال

Dan disunnatkan meletakkan batu atau kayu (nisan) di sisi kepala mayyit, kerana bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. meletakkan sebiji batu besar (nisan) di sisi kepala (kubur) Sayyidina 'Utsman bin Madzh`uun, dan Junjungan bersabda: "Agar diketahui dengannya kubur saudaraku supaya aku boleh mengkebumikan padanya sesiapa yang mati daripada keluargaku". Dan (disunnatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. melakukan sedemikian pada kubur anakanda baginda Sayyidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam asy-Syafi`i; Dan juga pada kubur Sa`ad (yakni Sa`ad bin Mu`aadz) sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, dan Junjungan s.a.w. telah memerintahkan dengannya (yakni dengan menjirus air) pada kubur Sayyidina 'Utsman bin Madzh`uun sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi. Dan yang mustahab adalah air tersebut suci lagi mensucikan dan sejuk (air mutlak biasa, jangan pulak disalahfaham dengan air sejuk peti ais plak), sebagai tafa`ul (mengambil sempena) mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati (yakni menyamankan keadaan si mati di tempat perbaringannya dalam kubur tersebut). Dan makruh menyiram atau menjirus dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta.
Begitulah ketentuan hukum menjirus kubur dengan air biasa dalam mazhab kita asy-Syafi`i. Diharap sesiapa yang telah beramal, tahu yang amalannya itu adalah sebagai menurut perbuatan Junjungan Nabi s.a.w. dan hendaklah diharap pahala atas amalannya tersebut dengan niat mencontohi amalan baginda. Sebagai penutup ana ingin berkongsi satu doa yang disusun oleh ulama, yang munasabah dibaca tatkala menyiram air atas pusara bermula dari kepala si mati hingga ke kakinya, iaitu:-


سَقَى اللهُ ثَرَاهُ (ثَرَاهَا)

وَ بَرَّدَ اللهُ مَضْجَعَهُ (مَضْجَعَهَا)

وَ جَعَلَ الْجَنَّةَ مَثْوَاهُ (مَثْوَاهَا)

saqaa-Allahu tsaraahu; wa barrada-Allahu madhja`ahu; wa ja`alal jannata matswaahu

Moga-moga Allah menyirami kuburnya (dengan hujan rahmat dan kasih sayang serta menghilangkan dahaganya); Dan menyamankan tempat perbaringannya; Dan menjadikan syurga tempat kediamannya.

الله اعلم

Sunday, October 21, 2007

Fenomena Istiwa Matahari atas Kaabah


Menurut hisab, peristiwa istiwa matahari di atas Kaabah akan berlaku 2 kali setiap tahun pada:

1. 28 hb Mei, pukul 5.16 petang waktu Malaysia
2. 16 hb Julai, pukul 5.28 petang waktu Malaysia

Elok juga kalau kita check samada arah kiblat kita tepat atau tidak…











Selanjutnya...tekan ini-Istiwa Matahari Atas Kaabah

Saturday, October 20, 2007

Berzikirlah


Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Ucapan yang paling dikasihi Allah ada empat, iaitu:- SubhanAllah wal Hamdulillah wa La ilaha illa Allah wa Allahu Akbar". Inilah kalimah-kalimah yang paling dikasihi Allah, yang sewajarnya sentiasa basah bibir kita menyebutnya. Setidak-tidaknya didisiplinkan diri kita untuk mengucapkannya 100 kali pagi dan 100 kali petang, agar kita memperolehi kebajikan yang banyak. Sibuk mana pun kita, cubalah disiplinkan diri, disela-sela waktu yang kita ada.

Imam at-Tirmidzi meriwayatkan dalam "Sunan", juzuk 5, halaman 288 - 289, sepotong hadits berdarjat hasan ghorib daripada Muhammad bin Waziir al-Waasithiy daripada Abu Sufyan al-Humairiy iaitu Sa`id bin Yahya al-Waasithiy daripada adh-Dhahhak bin Humrah daripada 'Amr bin Syu`aib daripada ayahandanya daripada nendanya bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

من سبح الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حج مائة حجة، ومن حمد الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حمل على مائة فرس في سبيل الله أو قال غزا مائة غزوة، ومن هلل الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن أعتق مائة رقبة من ولد إسماعيل، و من كبر الله مائة بالغداة و مائة بالعشي لم يأت في ذلك اليوم أحد بأكثر مما أتى به إلا من قال مثل ما قال أو زاد على ما قال

"Sesiapa yang bertasbih mensucikan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang mengerjakan 100 kali haji; Sesiapa yang bertahmid memuji Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang menunggang 100 ekor kuda di jalan Allah, atau disabdakan baginda "orang yang berperang 100 peperangan (jihad)"; Sesiapa yang bertahlil mengesakan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang memerdekakan 100 orang hamba daripada keturunan Nabi Isma`il; Dan sesiapa yang bertakbir membesarkan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka tiada seorang pun yang datang pada hari tersebut membawa pahala amalan yang lebih banyak daripadanya selain orang yang mengucapkan takbir seperti yang dia baca atau lebih banyak lagi."

Besar sungguh rahmat dan kemurahan Allah, sungguh Allah itu asy-Syakuur, amalan yang sedikit dan ringan diganjariNya dengan berlipat-lipat kali ganda. Masih mahu lari ke tuhan-tuhan lainkah kita, ketuhanan yang palsu semuanya, selain Allah al-Haq. Kerajaan bagi bonus sebulan gaji, kita sudah gembira (yang tak gembira tu, kena demand le lebih kat Pak Lah), naik gaji 10%, kita gembira, Ini Allah balas ganjaran entah berapa peratus lipat gandanya (yang faham matematik kira sendiri, ana dah tak cukup jari nak kira), tak percaya lagikah kita kepada kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya yang beramal. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjadi hamba-hamba yang taat beramal kebajikan, Allah tidak akan mempersia-siakan amalan hamba-hambaNya yang tulus beramal.

Friday, October 19, 2007

Fakir Ilmu

Hujjatul Islam al-Ghazali r.a. dalam kitabnya yang masyhur "Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Aalamiin" menukilkan sepotong hadits Junjungan Nabi s.a.w. yang bersabda:-


اطلعت ليلة المعراج على النار فرأيت أكثر أهلها الفقراء.
قالوا
: يا رسول الله من المال؟ قال لا، بل من العلم

"Aku telah diperlihatkan pada malam mi'raaj akan api neraka, lalu aku lihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang fakir. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, fakir harta benda?" Junjungan s.a.w. menjawab: "Tidak, hanyasanya fakir ilmu (agama)."

Fakir ilmu inilah yang paling bahaya dan boleh membawa kepada kedurhakaan bahkan kepada kekufuran. Lihat sahaja Fir`aun, Haaman, Namrud, Qarun, semua mereka itu kufur dalam kekayaan harta benda. Bukanlah fakir harta yang menjerumuskan mereka kepada kekufuran, tetapi fakir ilmu. Lihat juga berapa ramai kaum fuqara` yang tidak punya apa-apa, tapi keimanan dan ketaqwaan mereka umpama gunung Everest tertancap teguh dalam kalbu berkat ilmu yang diyakini dan dituruti.

Adalah dikhuatiri sesuatu amalan yang dilaksanakan tanpa ilmu akan menjadi amalan yang tertolak kerana mungkin perlaksanaannya tidak menepati segala syarat dan rukunnya sesuatu amalan tersebut. Maka dari sebab itulah telah dinazamkan oleh Syeikh Ibnu Ruslaan dalam
"Zubad":-

و كل من بغير علم يعمل * أعماله مردودة لا تقبل

Dan setiap yang beramal tanpa ilmu asasnya
Amalan-amalannya tertolak tidak diterima adanya

Selanjutnya Imam al-Haddad rh, turut berpesan dalam "Risalatul Mu`aawanah"nya:-

و اعلم أن من عبد الله بغير علم كان الضرر العائد عليه بسبب عبادته أكثر من النفع الحاصل له بها. و كم من عابد قد أتعب نفسه في العبادة و هو مع ذلك مصر على معصية يرى انها طاعة او انها غير معصية

"Dan ketahuilah bahawasanya seseorang yang beribadat kepada Allah tanpa ilmu, maka kemudaratan yang kembali kepadanya sebab ibadatnya itu lebih banyak daripada manfaat yang terhasil baginya. Berapa ramai ahli ibadat yang memenatkan dirinya dalam ibadat sedangkan dia sebenarnya atas maksiat padahal dia beranggapan apa yang dilakukannya adalah ketaatan atau bukannya maksiat....."

Allahu ... Allah. Oleh itu, marilah kita sama-sama menuntut ilmu daripada tuan-tuan guru yang berkelayakan yang mempunyai sandaran kepada ulama-ulama terdahulu sehinggalah kepada salafush sholeh dan akhirnya kepada Madinatul 'Ilm, Junjungan Nabi s.a.w. Sungguh pada kelazimannya, tidaklah terhasil ilmu itu melainkan dengan belajar, sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w.:

إنما العلم بالتعلم

"Sesungguhnya ilmu itu terhasil dengan belajar."

"Ya Allah Ya Tuhanku, Berilah pandai kepadaku dalam agama dan ajarkanlah ilmu hikmah engkau kepadaku, dan berikanlah kepadaku kekuatan untuk beramal dengan ilmu yang ada, dan istiqamahkanlah segala amalan baik ku kepadaMu, kepada Engkau ku sembah dan pinta, tuhan sekalian alam." Amin...

Saksikan video ini, Hijjaz- "ILMU"- Pelita 4

Adakah Anda Pernah Mendengar Alunan Takbir Raya di Mekah?

Jika diperhatikan pada video ini, teringat pula saya pada takbir raya di Malaysia...yang sentiasa bergema dengan alunan yang merdu (takbir kemelayuan) pada hari raya..pada pendapat saya, alunan takbir raya di Masjidil Haram lebih kurang alunan takbir raya di Malaysia....tetapi di Mesir, takbir raya mereka tidak terdapat alunan atau dengan bahasa lain (tidak ada) lengok lagu seperti kita...sekadar takbir tanpa melodi. Cuba perhatikan video ringkas ini..adakah anda bersetuju dengan pendapat saya?Sila beri komen...

Thursday, October 18, 2007

Lemang & Rendang di Rumah As-Sufiani As-Syarif








Hari ini adalah Hari Raya yang ke-6 yang mana telah kita rayakan. Ramai sahabat-sahabat yang berada di Mesir berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri ini. Sejak hari pertama hinggalah sekarang. Begitulah rutin kami semua yang berada di Alexandria, Mesir merayakan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. Kami saling menziarahi antara satu sama lain. Walaupun berjauhan dengan keluarga di Malaysia, kami di sini seperti adik beradik yang sentiasa tolong menolong dan bantu membantu.

Kami As-Sufiani As-Syarif bersyukur kepada Allah s.w.t kerana berjaya mengadakan rumah terbuka hari ini. Untuk makluman para sahabat sekalian, hari ini telah genap umur puteri kami Saidatul Hawwa As-Sufiani 3 bulan. Kami doakan puteri kami ini berjaya di dunia dan di akhirat.. Tanpa kekuasaanNya, kami mungkin tidak mampu untuk menjayakan majlis tersebut. Rumah terbuka kami bermula selepas solat asar sehingga malam..antara menu yang kami sediakan ialah nasi himpit, lemang, rendang dan kuih-muih..Alhammdulilah, semua makanan yang kami sediakan telah habis tanpa berlaku pembaziran..ramai sahabat yang hadir, antaranya irfan dan anak isteri, bukhori dan anak isteri,zamzaini, najib, jidin, mumtaz, kairul, hafizullah, shahid, ali mubarak, hasanuddin, sanusi, riduan che me, nawawi, rondi, faizal, pecol, hakim dan semua isteri dan anak..dan juga para sahabat yang lain(sori tak sebut ramai sangat)...ada juga sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir kerana keuzuran yang tidak dapat dielakkan..kami di sini juga memohon maaf jika tidak sempat memaklumkan kepada sebahagian para sahabat yang lain..datanglah ke rumah kami, rumah kami sentiasa terbuka untuk sahabat-sahabat tersayang..

Kami As-Sufiani As-Syarif mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat kerana sudi hadir ke teratak buruk kami....minta maaflah jikalau berlaku kekurangan dalam majlis raya di rumah kami.. InsyaAllah jika diberi kesempatan dan rezeki oleh Allah, kami akan mengadakan majlis-majlis kesyukuran yang akan datang...panjang sebenarnya nak cerita...cukuplah setakat ini..Lihat gambar seterusnya..........

Akhir sekali kami As-Sufiani As-Syarif mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN....



Syeikh Yusof Al-Qardawi berbicara tentang Maulid Rasulullah s.a.w

Maksud isi kuliah Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi;

Manusia mengingati makna-makna yang baik, sirah yang mempunyai kelebihan. Ini merupakan perkara yang dipuji, tidak sepatutnya dicela.

Maka dengan sebab itulah, tiada makna (tiada faedah) perkataan setengah manusia, sesungguhnya kamu melakukan amalan bidaah ketika kamu menghidupkan ingatan/kenangan kelahiran Rasulullah SAW.

Dan kita mengingatkan manusia dengan nikmat risalah Rasulullah SAW. Dan risalah inilah, merupakan risalah yang telah Allah sifatkan dengan firman-Nya;

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya;
“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”

(Surah Al-Anbiya’ : 107)

Wednesday, October 17, 2007

Fatwa Perkahwinan Misyar


Berikut adalah terjemahan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Darul Ifta’ Al-Misriyyah (Majlis fatwa Mesir) daripada teks asal dalam bahasa Arab yang diambil daripada web islamonline.net.

Terjemahan :

Segala puji bagi Allah s.w.t tuhan pencipta sekalian alam.
Bagi menentukan adakah sesuatu perkahwinan itu boleh diiktibar (dianggap) sah di sisi Syara' perlulah ianya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syara'.

Antara syarat-syarat untuk memastikan bahawa perkahwinan itu sah ialah:

1.Wujudnya kerelaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri.
2.Lafaz yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.
3.Adanya wali bagi pihak isteri.
4.Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang melengkapi syarat-syarat persaksian.
5.Perkahwinan tersebut diwarwarkan kepada umum.

Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara' ini maka perkahwinan Misyar ini adalah perkahwinan yang sah selagi mana perkahwinan ini tidak bertempoh walau apa nama perkahwinan ini sekalipun.

Namun apabila si isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah diberikan oleh syarak seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk suami bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut adalah harus di sisi syara' sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidah Saudah R.A. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya Rasulullah s.a.w bermalam di rumah beliau kepada Saiyyidah Aisyah R.A

Pendapat daripada Fadhilah Al-Syeikh Dr. Nasr Farid Wasil (Bekas Mufti Mesir)

Perkahwinan di dalam Islam adalah di antara hubungan kemanusiaan dan sosial yang paling suci yang dijaga oleh Islam malahan Islam turut menyuruh untuk diambil segala jalan yang boleh memudahkan perkahwinan di kalangan manusia, lelaki dan wanita bahkan syarak turut meminta untuk menjaga perkahwinan dengan mewujudkan satu perjanjian yang kukuh yang menjelaskan hak-hak dan kewajipan rumahtangga dan kekeluargaan yang diberkati dengan kalimah Allah.

Perkahwinan adalah dituntut berdasarkan nas Al-Quran melalui firman Allah s.w.t di dalam surah al-Nur ayat 32:

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui."

Allah s.w.t juga berfirman di dalam surah al-Rum ayat 21:

"Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir."

Rasulullah s.a.w juga bersabda dengan kalamnya yang mulia:
" Perkahwinan itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku."

Melalui perkahwinan, berlakulah perlaksanaan Syariat Islam yang dikehendaki oleh Allah bagi kepentingan manusia menelusuri firman Allah Taala yang bermaksud:

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Al Baqarah ayat 30)

Melalui perlaksanaan Syariat Islam, ibadah akan sempurna yang kesempurnaan ibadah itu adalah dituntut dan diperintahkan oleh Allah melalui firmannya yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya." (Al Zhariat ayat 56 hingga 58)

Perkahwinan yang memenuhi tujuan yang baik dan mulia ini adalah perkahwinan yang sah di sisi syara' yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat perkahwinan yang digariskan oleh syarak yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah di samping turut disepakati oleh ulama Islam di setiap zaman. Ini kerana rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnyalah yang akan membezakan antara akad nikah yang menepati syarak dan akad nikah yang diharamkan oleh Islam. Rukun serta syarat nikah ini yang akan menjadi pembeza yang berterusan sehingga hari kiamat.

Sehubungan dengan itu, pihak Dar al-Ifta' (Majlis Fatwa Kerajaan Mesir) berpandangan bahawa nikah Misyar seandainya ia memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukun ini iaitu: keredaan yang sempurna daripada pihak suami dan isteri, lafaz akad nikah yang mengandungi maksud perkahwinan yang berterusan, wali daripada pihak pengantin wanita, saksi-saksi yang memenuhi kriteria yang penuh sebagai seorang saksi yang sempurna dan pengisytiharan perkahwinan tersebut dengan cara yang pelbagai maka perkahwinan tersebut adalah perkahwianan yang sah di sisi syara' dengan kita tidak lagi perlu memandang kepada apa sahaja jenis istilah yang diberikan kepada nama perkahwinan itu selama mana perkahwinan itu tidak diterhadkan kepada tempoh tertentu.

Keharusan nikah ini atas sebab-sebab berikut:

1.Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan risalah Nabi Muhammad s.a.w ini sebagai penutup segala risalah dan Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada di dalamnya (hari kiamat). Oleh itu, tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaiannya di dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad s.a.w (Al-Quran). Allah berfirman:

"Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini "(Al An`am ayat 38)

Istilah Misyar akan kita dapati sekiranyanya kita meneliti secara terperinci di dalam sejarah-sejarah para ulama terdahulu dan sekarang. Sesiapa yang meneliti sejarah pengembaraan umat Islam terdahulu, dia akan mendapati bahawa terdapat di kalangan generasi terdahulu insan-insan yang mengembara keluar daripada tanah air demi menuntut ilmu atau berniaga. Jika mereka singgah di sesuatu negara di tengah perjalanan maka mereka akan menetap di situ dalam beberapa masa tertentu, lama atau sekejap seterusnya berkahwin dengan penduduk negeri tersebut dan dikurniakan zuriat kemudian mereka menyambung kembali perjalanan mereka dengan meninggalkan isteri sama ada dengan jalan talak atau sebagainya dalam keadaan isterinya rela dengan perkara tersebut.

2.Di sana hanya ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syara'. Oleh itu, selain daripada perkahwinan yang sah di sisi syara', maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Al-Quran telah menerangkan perkara ini di dalam firman Allah Taala :

"Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas." (Al-Mukminun ayat 5-7)

Syariat Islamiah telahpun menerangkan bahawa perkahwinan yang menepati Islam sahaja yang dapat mengumpulkan antara lelaki dan wanita dengan kalimat Allah di atas akad yang berterusan dan perjanjian yang kukuh. Oleh itu setiap kehendak yang jauh daripada perkahwinan yang menepati syarak adalah satu penderhakaan terhadap Allah dan satu pelampauan batas terhadap garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah.

3.Seseorang isteri itu mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu. Perkara ini secara jelas telah ditunjukkan oleh isteri Rasulullah s.a.w iaitu Sayyidah Saudah yang secara rela telah memberikan hari yang sepatutnya Rasulullah s.a.w bersama dengannya kepada Saiyyidah Aisyah r.a. Seandainya kerelaan ini tidak menepati syarak maka pasti Rasulullah akan tidak bersetuju dengan tindakan Sayyidah Saudah.

Oleh itu setiap syarat yang dibuat yang tidak menafikan tujuan asas dan maksud utama bagi perkahwinan, maka syarat tersebut adalah sah dan tidak akan sama sekali mencacatkan akad nikah atau membatalkannya.

Dar al-Ifta' (Majlis Fatwa Mesir) tidaklah bermaksud melalui fatwa ini untuk menyuruh masyarakat memilih jalan perkahwinan sebegini. Namun begitu, pihak Dar al-Ifta' hanya bertanggungjawab untuk bersungguh-sungguh menerangkan hukum-hukum syara' yang betul dengan bersumberkan sumber-sumber hukum daripada Al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah s.a.w serta pendapat para ulama muktabar daripada mazhab terdahulu.

Tuesday, October 16, 2007

FATWA BERKENAAN ROGOL



Hukuman Islam Berkenaan Rogol

Soalan:

Apakah hukum atas jenayah rogol dalam Islam?

Jawapan:

Rogol ialah jenayah yang hina dan dosa besar. Jenayah terkutuk ini dilarang bukan sahaja dalam Islam tetapi dalam semua agama, dan semua manusia yang berfikiran waras dan naluri manusia yang suci menolaknya.

Menjawab persoalan tersebut, pensyarah Islam Saudi terkenal dan penulis Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid menyatakan yang berikut:

Perkataan Arab ightisab (rogol) merujuk kepada mengambil sesuatu secara salah dengan kekerasan. Perkataan itu sekarang digunakan khasnya untuk merujuk kepada pencabulan terhadap maruah wanita dengan kekerasan.

Rogol ialah satu jenayah yang hina yang dilarang dalam semua agama dan dalam minda semua manusia baik dan mereka yang memiliki naluri manusia yang suci. Semua sistem dan undang-undang dunia menganggap perbuatan ini sebagai hina dan mengenakan hukuman paling berat atasnya.

Islam mempunyai pendirian jelas yang menyatakan yang perbuatan terkutuk ini haram (dilarang) dan mengenakan hukuman pencegahan atas seseorang yang melakukannya.

Islam menutup pintu kepada penjenayah yang ingin melakukan jenayah ini. Kajian barat menunjukkan kebanyakan perogol ialah penjenayah sedia ada yang membuat jenayah mereka dibawah pengaruh alkohol dan dadah, dan mereka mengambil kesempatan atas keadaan mangsa mereka berjalan sendiri di tempat terlindung atau tinggal sendirian di rumah. Kajian itu juga menunjukkan apa-apa yang penjenayah saksikan di media dan gaya pakaian separuh-bogel yang perempuan pakai semasa keluar juga mendorong kepada perlakuan jenayah hina ini.

Hukum Islam datang untuk melindungi maruah dan kehormatan wanita. Islam melarang perempuan memakai pakaian yang tidak sopan. Bahkan, Islam menggalakkan lelaki dan permpuan muda berkahwin awal, dan banyak lagi hukum yang menutup pintu rogol dan jenayah lain. Maka tidaklah mengejutkan apabila kita dengar atau membaca yang kebanyakan jenayah ini berlaku dalam masyarakat yang bebas, yang dipandang oleh sebahagian Muslim sebagai contoh ketamadunan dan kecemerlangan! Perlu dinyatakan disini yang di Amerika , contohnya, Amnesty International menyatakan dalam satu laporan 2004 yang bertajuk “Hentikan Keganasan Terhadap Wanita” yang setiap 90 saat seorang wanita dirogol sepanjang tahun itu.

Hukuman rogol dalam Islam sama dengan hukuman zina, iaitu rejam jika penjenayah berkahwin, dan satu ratus sebatan dan buang negeri untuk satu tahun jika dia belum berkahwin.

Disamping itu, Ibn `Abdul-Barr (semoga Allah merahmati ruh nya) berkata:


Para ulama bersepakat bersetuju yang perogol tertakluk kepada hukuman hadd jika terdapat bukti jelas terhadap nya yang dia sepatutnya diberi hukuman hadd, atau jika dia mengakui. Sebaliknya, dia dihukum (iaitu, jika tiada bukti yang hukuman hadd untuk zina boleh dilaksanakan terhadapnya kerana dia tidak mengakui dan tiada empat saksi, maka hakim boleh menghukumnya dan menetapkan satu hukuman yang akan mencegahnya atau yang lain sepertinya). Tiada hukuman untuk perempuan jika benar yang lelaki memaksanya dan mengatasinya. (Al-Istidhkaar, 7/146).

Disamping itu, perogol itu tertakluk kepada hukuman hadd untuk zina, walaupun jika rogol itu tidak dilakukan dengan pisau atau senapang. Jika senjata digunakan untuk mengancam, maka dia ialah muharib, dan tertakluk kepada hukuman hadd yang dinyatakan dalam ayat Allah berfirman (Sesungguhnya pembalasan terhadap orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar) (Al-Ma’idah 5:33).


Jadi hakim mempunyai pilihan empat hukuman yang disebutkan dalam ayat ini dan boleh memilih mana-mana yang beliau fikirkan paling sesuai untuk mencapai matlamat, iaitu untuk menyebarkan keamanan dan keselamatan dalam masyarakat, dan mencegah penjenayah dan pencabul.

Terjemahan daripada: Islamic Punishment for Rape
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1125407868541&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar

Hukuman Untuk Perogol

Soalan:

Dalam Shari`ah, adakah terdapat hukuman tertentu untuk perogol?

Jawapan:

Menurut Islam, wanita yang dirogol tidak bersalah akan sebarang dosa kerana dia dipaksakan melampaui kawalannya. Menekankan hal ini, Rasulullah (SAW) diriwayatkan bersabda, “Allah memaafkan Ummah ku kesalahan mereka,apa yang mereka terlupa dan apa yang mereka dipaksa lakukan.” Jadi, wanita yang dirogol ialah mangsa dan seluruh ahli masyarakatnya sepatutnya berurusan dengannya dengan hormat dan mulia dan sepatutnya menggalakkannya untuk mendapatkan haknya melalui semua cara yang mungkin.

Menjawab soalan anda, kami ingin memetik untuk anda fatwa berikut yang dikeluarkan oleh Dr. Ahmad Yusuf Sulaiman, professor undang-undang Shari`ah Islam di Universiti Kaherah:

Jika seorang perempuan dirogol, dia sepatutnya menyaman terhadap orang yang merogolnya. Jika terbukti yang dia dirogol, maka mahkamah mesti mengenakan hukuman ta`zir (mengikut budi-bicara hakim) atas perogol. Hukuman ta`zir itu boleh mencapai hukuman mati, mengikut beberapa mazhab. Hal ini sama sekali berdasarkan atas bukti yang rogol itu disahkan melalui ujian perubatan dan proses mahkamah, tanpa pengakuan perogol itu sendiri.

Dalam kes yang perogol mengakui jenayah itu, maka hukuman zina dikenakan atasnya. Jika dia tidak berkahwin, maka dia disebat 100 sebatan. Jika dia berkahwin, maka dia direjam hingga mati.

Untuk mangsa rogol, tiada hukuman dikenakan atasnya. Dia mesti dilayan dengan mulia dan hormat, dan semua bentuk pertolongan mesti diberi kepadanya untuk mendapatkan haknya.

Terjemahan daripada: Punishment for Rapists

http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1122819225850&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar

Membunuh Diri Untuk Mengelakkan Rogol

Soalan:

Bolehkan perempuan muslim membunuh dirinya jika dia yakin 100% yang dia akan dirogol oleh sekumpulan lelaki? Jazakum Allah khayran.

Jawapan:

Pertamanya, perempuan Muslim mesti cuba sedaya-upayanya untuk mentaati ajaran Islam dan mematuhi akhlak Islam, terutamanya apabila berurusan dengan lelaki.

Jika dia diancam secara seksual oleh perogol, dia ada hak untuk mempertahankan dirinya. Namun, dia tidak dibenarkan untuk membunuh dirinya kerana sebarang sebab kerana membunuh diri adalah Haram (dilarang). Hanya Allah mengetahui yang ghaib. Dia mungkin tidak tahu akibat cubaan jenayah mereka; mereka mungkin gagal dalam melaksanakan rancangan jahat mereka.Dalam hal ini kita ingin menjelaskan yang seorang perempuan Muslim berdepan dengan dua kemungkinan: (1)Dia terdedah untuk menjadi mangsa rogol atau serangan seksual dan (2) ini mungkin mendorong dia membunuh diri, satu perbuatan yang terlarang. Di sini kita bayangkan kejadian dua mudarat, salah satunya, berkaitan membunuh diri, yang pasti, sedangkan yang satu lagi, berkaitan dirinya terdedah kepada rogol, sesuatu yang mungkin, tetapi tidak pasti. Maka, dalam hal ini, membunuh diri tidak dibenarkan.

Lagi pun, kita mesti menimbangkan kesan buruk antara membunuh diri dengan rogol atau serangan seksual. Rogol atau serangan seksual kurang mudarat dibandingkan dengan membunuh diri. Disamping itu, memelihara nyawa ialah kewajipan kehidupan, sedangkan matlamat lain, seperti memelihara maruah seseorang, jatuh ke tempat kedua dikalangan matlamat-matlamat asas yang Islam ingin capai. Maka, tidak dibenarkan bagi seorang perempuan, mangsa rogol, untuk membunuh diri.

Menjawab persoalan tersebut, ulama, penulis dan pensyarah Islam Saudi terkenal Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid menyatakan:

“Seorang perempuan yang dipaksa untuk melakukan Zina wajib mempertahankan dirinya dan tidak sepatutnya mengalah, walaupun jika dia membunuh orang yang ingin merogolnya. Mempertahankan diri merupakan kewajipan, dan dia tidak bersalah jika dia membunuh orang yang ingin memaksanya melakukan persetubuhan. Rasulullah (SAW) diriwayatkan bersabda: “Sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan hartanya ialah syahid, Sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan dirinya ialah syahid, Sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan agamanya ialah syahid, dan sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan keluarganya ialah syahid.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Hibban)

Disamping itu, seorang perempuan tidak dibenarkan membunuh dirinya kerana takut dirogol. Seorang perempuan Muslim yang baik diwajibkan menangkis serangan penyerang, tetapi dia tidak dibenarkan pergi keterlaluan dan membunuh dirinya. Jika dia membunuh dirinya, maka dia melakukan perbuatan yang Haram. Rasulullah (SAW) diriwayatkan bersabda: “Manusia daripada Ummat ku tidak dipertanggung-jawabkan atas perbuatan yang mereka lakukan kerana tersilap, atas perbuatan yang mereka lakukan kerana terlupa, dan atas perbuatan yang mereka dipaksa melampaui kemampuan mereka.” Allah (SWT) berfirman, “…, kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman. …” (An-Nahl: 106)”

Terjemahan daripada: Suicide to Escape Rape
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503544314&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar